Bank-bank Wall Street elak terlibat dalam IPO Chery di Hong Kong bernilai RM6.36 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank-bank Wall Street elak terlibat dalam IPO Chery di Hong Kong bernilai RM6.36 bilion

Gambar/Chery Malaysia

KUALA LUMPUR 7 Mei - Satu daripada penyenaraian saham terbesar tahun ini melibatkan tawaran awal permulaan (IPO) Chery Automobile Co yang boleh meraih RM6.36 bilion, sedang dirancang di Hong Kong tanpa penyertaan bank-bank Wall Street.

 

JPMorgan Chase & Co, yang pada asalnya dipilih oleh Chery pada akhir 2024 untuk menguruskan penyenaraian, kini tidak lagi terlibat, tetapi ia dikendalikan sepenuhnya oleh bank-bank dari China.

 

"JPMorgan menarik diri sebelum menandatangani perjanjian rasmi. Beberapa bank antarabangsa lain juga enggan terlibat dalam urus niaga ini," menurut sumber seperti yang dipetik oleh Bloomberg.

 

Penjualan saham besar biasanya melibatkan bank-bank antarabangsa sebagai penasihat atau pengurus utama. 

 

Sebagai contoh, penyenaraian bernilai RM21.18 bilion oleh Contemporary Amperex Technology Co Ltd di Hong Kong, diuruskan oleh Bank of America Corp dan JPMorgan.

 

Laporan Bloomberg menyebut, Chery, yang juga antara pengeksport kereta utama dari China, sedang bekerjasama dengan cawangan Hong Kong bagi China International Capital Corp, Huatai Securities Co dan GF Securities Co sebagai penaja bersama untuk penyenaraian itu.

 

Bank pelaburan global kini bersaing dengan bank-bank dari China yang menawarkan khidmat nasihat, pembiayaan dan perkhidmatan lain dengan kos yang lebih rendah. 

 

Dalam perkembangan terbaharu, aplikasi e-hailing CaoCao Inc telah menghantar dokumen IPO dengan menamakan Huatai Financial Holdings Ltd, ABCI Capital Ltd dan GF Capital Ltd dari China sebagai penaja bersama.

 

Beberapa bank di Amerika Syarikat (AS) kini lebih berhati-hati memilih urus niaga untuk melindungi keuntungan dan mengelak terlibat dengan syarikat di pasaran yang dikenakan sekatan oleh AS.

 

Chery adalah antara jenama kereta paling laris di Rusia, menggantikan tempat yang ditinggalkan pengeluar global selepas Rusia menceroboh Ukraine.

 

Chery dan JPMorgan tidak memberikan sebarang ulasan mengenai rancangan IPO berkenaan.

 

Menurut data Bloomberg, sebanyak RM11.44 bilion telah dikumpulkan melalui IPO dan penyenaraian kedua di Hong Kong pada tahun 2025 setakat ini, meningkat kira-kira 170% berbanding tahun lalu.

 

Mixue Group berjaya mengumpul RM2.16 bilion pada awal Mac lalu dan sahamnya melonjak hampir 150% sejak itu. 

 

Selain itu, Xiaomi Corp dan BYD Co juga telah meraih RM46.60 bilion melalui urus niaga pasaran modal ekuiti.

 

Chery merupakan aset penting bagi Chery Holding Group Co, yang turut menjalankan perniagaan perkhidmatan kewangan dan hartanah. 

 

Syarikat itu menyatakan, ia akan mengehadkan operasi di Rusia bagi mengurangkan risiko sekatan. 

 

Dalam prospektusnya, syarikat juga memaklumkan jualan ke Cuba dan Iran yang dikenakan sekatan telah dihentikan pada akhir tahun lepas.

 

Bloomberg melaporkan, perbincangan mengenai IPO di Hong Kong masih berjalan dan butiran seperti jumlah dan masa penyenaraian boleh berubah.

 

Sebagai sebahagian daripada rancangan untuk berkembang ke luar negara, Chery merancang membuka kilang kereta elektrik bernilai RM4.24 bilion di Turki bersama rakan tempatan, dengan sasaran menghasilkan 200,000 kenderaan setahun, menurut Kementerian Industri Turki pada Mac 2025.

 

Ditubuhkan pada tahun 1997, Chery menjual kereta di bawah jenama Chery, Jetour, Exeed, iCar dan Luxeed. - DagangNews.com