Avangaad raih kontrak RM66.9 juta, kukuh kedudukan dalam sektor logistik maritim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Avangaad raih kontrak RM66.9 juta, kukuh kedudukan dalam sektor logistik maritim

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai - Avangaad Bhd, syarikat pengangkutan marin dan penyimpanan luar pesisir terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor logistik maritim apabila berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai RM66.9 juta daripada Northport (Malaysia) Bhd.

 

Syarikat itu yang sebelum ini dikenali sebagai EA Technique Bhd berkata, kejayaan tersebut adalah antara langkah strategik yang dilakukan untuk  mengembangkan lagi operasi pelabuhan dan bot tunda syarikat tersebut.

 

Avangaad yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia telah dikeluarkan daripada status Nota Amalan 17 (PN17) pada Februari 2025 dan kini giat meluaskan fokusnya untuk meneroka segmen dalam industri yang tidak berteraskan minyak dan gas.

 

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Avangaad mengumumkan kejayaan memperoleh kontrak bernilai RM47.8 juta bagi perkhidmatan sewaan harian tiga unit bot tunda pelabuhan jenis Z-Peller dengan daya tarikan 50 tan.

 

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata, kontrak utama itu merangkumi tempoh lima tahun dengan opsyen lanjutan selama lima tahun lagi, yang berpotensi menjamin pendapatan berulang hingga satu dekad.

 

"Ini akan memperkukuhkan lagi unjuran pendapatan jangka panjang dan kekuatan buku pesanan Avangaad Group.

 

"Selain itu, syarikat turut menerima lanjutan kontrak selama dua tahun bagi tiga unit bot tunda Z-Peller sedia ada (40 tan) dengan nilai tambahan RM18.9 juta," katanya.

 

Tambahnya, kejayaan memeterai kesemua kontrak tersebut mencerminkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan Avangaad dalam menyediakan perkhidmatan maritim yang cekap dan boleh dipercayai secara konsisten.

 

“Walaupun kami masih mengekalkan kehadiran dalam bidang penyimpanan luar pesisir, kontrak baharu ini mencerminkan strategi pengembangan kami ke dalam sektor bukan minyak dan gas.

 

"Ini juga membuktikan potensi Avangaad untuk menembusi segmen pasaran yang lebih luas dan memperkukuh asas pendapatan berulang kumpulan," katanya. - DagangNews.com