KUALA LUMPUR 19 Dis - ASTEEL Group Berhad mencatat keputusan positif apabila anak syarikat milik penuhnya, ASTEEL (Sarawak) Sdn Bhd (ASWK), berjaya dalam prosiding di bawah Akta Industri Pembinaan (Pembayaran dan Adjudikasi) 2012 (CIPAA) terhadap Dynaciate Engineering Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu memaklumkan ASWK telah menerima keputusan adjudikasi bertarikh 19 Disember 2025, yang memihak kepada ASWK.
Berdasarkan keputusan tersebut, Dynaciate diperintahkan untuk membayar kepada ASWK sejumlah RM395,078.14, selain faedah pada kadar 5% setahun ke atas jumlah tersebut, bermula 14 hari selepas 19 Disember 2025 sehingga bayaran penuh dan muktamad dibuat.
Selain itu, Dynaciate turut diarahkan membayar kos prosiding adjudikasi berjumlah RM37,970.52, menjadikan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar melebihi RM433,000, tidak termasuk faedah.
Pembayaran semua jumlah tersebut hendaklah dibuat dalam tempoh 14 hari dari 19 Disember 2025, menurut keputusan adjudikator.
ASTEEL Group Berhad sebelum ini telah membuat beberapa pengumuman berkaitan prosiding berkenaan pada 16 Jun, 6 Oktober, 18 November, 2 Disember dan 9 Disember 2025.
Kumpulan itu memaklumkan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan baharu berhubung perkara tersebut. - DagangNews.com








