KUALA LUMPUR 22 Mei - Aspen Group Holdings Limited hari ini tampil menjelaskan isu kegagalan tender bagi projek cadangan Batu Kawan Industrial Park (BKIP) 2 antara Penang Development Corporation (PDC) dan konsortium IJM-Aspen.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aspen, M Murly berkata, kenyataan berkaitan pembatalan perjanjian tanah itu adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan kandungan sebenar permintaan cadangan (RFP) yang dikemukakan syarikat.
Menurut beliau, antara cadangan yang dikemukakan dalam RFP tersebut termasuk pembinaan jambatan bagi memastikan hubungan dalaman yang baik antara Batu Kawan dan tapak projek.
Sebelum ini dilaporkan bahawa perjanjian tanah itu dibatalkan pada 2024 selepas konsortium berkenaan didakwa gagal memenuhi lima daripada sembilan syarat utama yang ditetapkan dalam RFP projek tersebut termasuk pembinaan jambatan berkenaan.
Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan mendakwa bahawa IJM-Aspen enggan membina jambatan tersebut.
Bagaimanapun, Murly berkata konsortium itu dalam cadangannya telah menyatakan komitmen untuk membina jambatan berkenaan malah turut mencadangkan pembinaan sebuah lagi jambatan bagi memastikan hubungan yang baik antara tapak pembangunan BKIP2 dan Batu Kawan Industrial Park.
Menurut beliau, selepas penyerahan RFP dibuat, pihak PDC selaku pemilik tanah tidak pernah mengadakan pertemuan dengan konsortium untuk membincangkan cadangan tersebut.
“Kami meminta satu pertemuan tetapi tidak dilayan. Kami tidak menerima sebarang komunikasi. Tiada langsung. Untuk RFP berskala besar seperti ini, itu bukan proses sewajarnya. Itu bukan cara penilaian yang berwibawa dilakukan,” katanya lapor FMT.
Murly turut mencadangkan supaya semakan bebas dijalankan terhadap penyerahan RFP konsortium itu bersama semua dokumen berkaitan dan proses penilaian yang dilakukan kerana ia melibatkan kepentingan awam berhubung perjanjian tanah tersebut.
“Kami berurusan berdasarkan fakta dan komitmen yang didokumenkan sebagai syarikat tersenarai awam dan apabila rekod yang didokumenkan oleh syarikat tersenarai disalah tafsir secara terbuka, kami mempunyai tanggungjawab untuk memberi penjelasan,” katanya.
Walaupun perjanjian tanah itu dibatalkan, Murly berkata isu tersebut tidak akan menjejaskan aktiviti perniagaan semasa Aspen di Pulau Pinang khususnya pembangunan syarikat di Bandar Cassia, Batu Kawan.
“Kami akan terus memenuhi semua obligasi sedia ada. Kami akan terus membangunkan dan melabur dalam peluang masa depan Pulau Pinang,” katanya. - DagangNews.com








