Asian Pac jual tanah 35.72 hektar di Semenyih, jana premium RM66.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asian Pac jual tanah 35.72 hektar di Semenyih, jana premium RM66.8 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Sept – Pemaju hartanah Asian Pac Holdings Bhd melupuskan tanah pegangan bebas seluas 35.72 hektar di Semenyih, Selangor berharga RM87.69 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, tanah tersebut yang masih kosong dinilai berharga RM91.5 juta pada April lalu oleh penilai bebas, Henry Butcher Malaysia Sdn Bhd.

 

Asian Pacberkata, meskipun harga jualan tersebut 4.2% lebih rendah daripada nilai pasaran, ia dianggap wajar kerana mencerminkan permintaan terhadap lot tanah berskala besar di Semenyih dan selari dengan strategi kewangan kumpulan.

 

“Pelupusan kepada Kueen Lai Properties Sdn Bhd itu turut mewakili premium sebanyak RM66.8 juta, bersamaan kira-kira 3.1 kali ganda daripada kos asal tanah sebanyak RM20.9 juta yang diperoleh pada tahun 2004.

 

“Hasil daripada pelupusan ini akan digunakan untuk modal kerja, pembangunan semasa dan akan datang serta pengurangan hutang dengan jangkaan penggunaan sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan selepas urus niaga selesai. 

 

“Transaksi dijangka dimuktamadkan dalam masa tiga bulan,” kata syarikat itu.

 

Pada Ogos lalu, Asian Pac mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Prestasi Kemas Sdn Bhd daripada Salcon Development Sdn Bhd dan Datuk Ding Pei Chai berharga RM42 juta, bagi mengukuhkan kedudukan syarikat di Lembah Klang.

 

Salcon Development merupakan cabang pembangunan hartanah kepada Salcon Bhd.

 

Setakat akhir Jun 2025, Asian Pac mempunyai RM21.5 juta dalam bentuk tunai dan aset mudah tunai, berbanding dengan jumlah hutang sebanyak RM500.2 juta.- DagangNews.com