Asia perlu labur AS$88.7 trilion menjelang 2050 untuk capai matlamat pelepasan sifar karbon bersih - Petronas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asia perlu labur AS$88.7 trilion menjelang 2050 untuk capai matlamat pelepasan sifar karbon bersih - Petronas

Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 16 Jun - Bagi mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih, Asia memerlukan pelaburan tenaga sebanyak AS$88.7 trilion menjelang 2050.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menekankan bahawa pelaburan dan perbelanjaan dalam sistem tenaga konvensional dan boleh baharu masih diperlukan.

 

"Tenaga merupakan nadi kepada ekonomi, oleh itu pelaburan adalah kritikal bagi memastikan ketersediaan dan kemampuan tenaga.

 

"Kerajaan, institusi kewangan dan industri perlu bekerjasama melaksanakan dasar dan kerangka kerja yang membantu membuka akses kepada modal untuk projek tenaga, terutama yang diperlukan dalam ekonomi sedang pesat membangun dan membangun," katanya dalam ucapan alu-aluan pada persidangan Energy Asia 2025 di sini hari ini.

 

Tengku Muhammad Taufik berkata, harga minyak global melonjak berikutan jangkaan berlaku kejutan bekalan akibat konik yang semakin memuncak di sekitar kawasan Selat Hormuz. Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.97 peratus kepada AS$74.95 setong.

 

Menurut beliau, kenaikan harga semasa adalah antara yang paling ketara sejak krisis tenaga pada 2022.

 

"Perkara ini berlaku ketika dunia masih bergelut dengan ancaman tarif balas. Walaupun kita belum dapat menilai dengan tepat impak sebenar daripada semua peristiwa ini, sistem tenaga global yang telah mengalami tekanan daripada perkembangan semula jadi tamadun kita, sememangnya berisiko besar,” ujarnya.

 

Revolusi Perindustrian Kelima

Tengku Muhammad Tauk berkata dunia berada dalam ambang revolusi perindustrian kelima, memandangkan kecerdasan buatan dengan pantas menjadi teknologi asas yang amat diperlukan di semua sektor.

 

Beliau menjangkakan permintaan elektrik daripada pusat data akan mencecah 945 terawatt jam (TWh) di peringkat global menjelang 2030, lebih dua kali ganda daripada 415 TWh pada 2024 dan mewakili lebih 20 peratus daripada pertumbuhan jumlah permintaan dalam tempoh berkenaan.

 

"Seluruh sistem tenaga yang ada pada masa ini sedang berusaha untuk memenuhi lonjakan permintaan ini.

 

"Semua ini berlaku ketika kita masih menyesuaikan diri dengan pengurangan yang ketara dalam dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang mengancam untuk menjejaskan matlamat sifar bersih yang telah diusahakan oleh dunia sejak Perjanjian Paris.

 

"Perubahan besar daripada konik global, pendedahan teknologi dan perubahan iklim ini telah menunjukkan apa yang digambarkan oleh Petronas sebagai ‘polikrisis’, yang membentuk sentimen dan konteks utama persidangan perhimpunan kita hari ini," katanya.

 

Energy Asia 2025 akan membawakan lebih 180 penceramah terkenal di seluruh dunia melalui lebih 50 dialog strategik yang merangkumi tujuh sub-tema.

 

Persidangan berkenaan akan menilai usaha kerjasama antara negara-negara Asia yang boleh memperkukuh keselamatan tenaga, menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu, melaksanakan penyelesaian penyahkarbonan, memudahkan pemindahan teknologi serta merangsang pembangunan ekonomi dan sosioekonomi. - BERNAMA