KUALA LUMPUR 28 Nov – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$123.76 bilion pada 31 Okt 2025 manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$201.6 juta, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata, butiran terperinci rizab antarabangsa Malaysia memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain, mengikut format Piawaian Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ia turut menyediakan panduan mengenai jangkaan dan potensi aliran masuk dan keluar pertukaran asing kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.
“Secara keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan pada akhir Oktober 2025, rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh guna,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut BNM, bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah disandarkan kepada deposit, sekuriti dan pinjaman mata wang asing, termasuk antara lainnya, pembayaran balik berjadual bagi penjaminan luar oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing berjumlah AS$14.17 bilion.
“Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah AS$20.64 bilion pada akhir Oktober 2025 mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” tambahnya.
Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 20026, data ini tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.
BNM juga menambah bahawa unjuran aliran masuk itu berjumlah AS$2.77 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Dalam pada itu, BNM berkata satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontigensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$417 juta.
“Tidak ada pinjaman mata wang asing yang terkandung dalam opsyen, tiada kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank atau institusi kewangan lain.
“Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” kata bank pusat itu. - DagangNews.com








