KUALA LUMPUR 28 Nov - Walaupun prospek pendapatan FY25E Malakoff Corporation kekal suram, penganalisis percaya masih ada sinar buat syarikat pembekal tenaga itu untuk kembali mencatat prestasi pendapatan yang baik.
CGS International Securities berkata, sentimen terhadap Malakoff nyata terjejas oleh gangguan loji baru-baru ini dengan sahamnya susut 16% sepanjang bulan lalu.
Katanya, dengan saham kini didagangkan pada 5.2x EV/EBITDA 2026F, hampir paras terendah julat sejarahnya, pihaknya percaya risiko pendapatan ini telah diambil kira.
"Namun kami menjangka prospek pendapatan yang bertambah baik daripada aset hijau baharu yang lebih cekap, dengan potensi kenaikan terbesar datang daripada kejayaan bidaan untuk loji janakuasa gas baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut CGSI, pihaknya secara konservatif telah mengambil kira kerugian pendapatan yang besar daripada Tj Bin Energy (TBE) dalam unjuran PAT 2025F, sementara menunggu kepastian mengenai pemulihan insurans.
Firma itu juga telah menaikkan unjuran susut nilai berikutan pengkapitalan kos pembaikan besar, serta menurunkan sumbangan syarikat bersekutu, yang mengakibatkan pemotongan PAT sebanyak 64% untuk 2025F dan 18-21% untuk 2026F-2027F.
"Harga sasaran berasaskan SOP kami kekal tidak berubah kerana susut nilai yang lebih tinggi tidak menjejaskan aliran tunai bebas hadapan, dan kami mengalihkan penilaian kami setahun ke hadapan," kata firma itu lagi.
CGSI menambah, selain memperoleh loji janakuasa gas baharu yang menawarkan potensi kenaikan pendapatan berulang yang signifikan, pemangkin penarafan semula termasuk menambah projek tenaga boleh diperbaharui, lanjutan konsesi sedia ada, dan peningkatan pendapatan daripada penambahbaikan prestasi loji.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, keputusan 3Q25 Malakoff sekali lagi berada di bawah jangkaan firma itu dan konsensus akibat kapasiti pembayaran yang terlepas di Tj Bin Energy (TBE).
"Kami menjangkakan 4Q25 yang lebih lemah memandangkan TBE tidak beroperasi untuk sebahagian besar suku tersebut.
"Walaupun prospek pendapatan FY25E kekal suram, kami menjangka harga saham terus disokong oleh potensi kemenangan projek baharu," katanya.
Sehubungan itu Maybank IB mengekalkan penarafan HOLD dengan TP berasaskan SOP yang lebih rendah pada MYR0.87 (daripada MYR0.90) selepas pengurangan unjuran pendapatan kami. Malakoff juga menawarkan hasil dividen sekitar 4.5%. - DagangNews.com








