ART: Kerajaan Malaysia tidak terikat komitmen pembelian atau pelaburan dengan AS, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ART: Kerajaan Malaysia tidak terikat komitmen pembelian atau pelaburan dengan AS, Parlimen diberitahu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis – Malaysia tidak terikat untuk membeli barangan Amerika Syarikat atau membuat pelaburan bernilai besar di bawah di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS (ART), kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

 

Sebaliknya, beliau menegaskan kedaulatan, autonomi dasar dan kepentingan Malaysia kekal dilindungi sepenuhnya di bawah ART. 

 

“Perjanjian ini bukan perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti yang pernah dirundingkan Malaysia sebelum ini. Rundingan ART dibuat bagi mempertahankan kepentingan dan keselamatan ekonomi negara, melindungi pekerjaan dan mengekalkan pasaran eksport Malaysia daripada kesan negatif tarif Amerika Syarikat.

 

 

 

 

 

 

“Komitmen yang dinyatakan dalam ART sebenarnya merujuk kepada keputusan komersial dan perancangan perolehan sedia ada oleh syarikat-syarikat kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional Malaysia berdasarkan pertimbangan dan strategi perniagaan masing-masing. 

 

“Semua urus niaga adalah berbentuk perniagaan-ke-perniagaan (B2B) termasuk pembelian pesawat daripada Boeing, peralatan keselamatan, gas asli cecair (LNG), peralatan semikonduktor, komponen aeroangkasa, peralatan pusat data, peralatan telekomunikasi serta arang batu,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Tan Seri Low Kian Chuan yang meminta penjelasan sama ada Malaysia perlu menunaikan komitmen komersial untuk membeli barangan dan melabur di AS yang dianggarkan bernilai sekitar AS$240 bilion di bawah ART di Parlimen hari ini.

 

Beliau berkata, sebagai contoh, pembelian pesawat merupakan sebahagian daripada pelan pembaharuan dan peluasan armada kapal penerbangan negara yang dilaksanakan secara berfasa bagi menggantikan pesawat lama dan memastikan keselamatan serta kemampanan operasi, di samping menyokong pertumbuhan sektor pelancongan. 

 

“Perolehan LNG pula adalah komitmen bekalan jangka panjang oleh PETRONAS untuk memenuhi kontrak sedia ada, mengoptimumkan sumber, dan memastikan kesinambungan penghantaran kepada pelanggan. 

 

“Semua ini adalah keputusan komersial syarikat dan bukan arahan kerajaan untuk memenuhi obligasi di bawah ART. Kesimpulannya, dapat ditegaskan bahawa komitmen di bawah ART adalah keputusan korporat syarikat, dilaksanakan melalui mekanisme pasaran dan tidak membentuk sebarang kewajipan negara. 

 

 

 

 

 

“ART tidak menuntut kerajaan Malaysia membeli barangan atau melabur di Amerika Syarikat dalam nilai tertentu dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

 

Tambahnya, kerajaan kekal komited memastikan perdagangan dua hala yang inklusif dan berdaya saing, sambil mengekalkan integriti fiskal negara. - DagangNews.com