APS siapkan baik pulih pertama kipas Collins Aerospace 568F di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

APS siapkan baik pulih pertama kipas Collins Aerospace 568F di Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt – Aircraft Propeller Service (APS), penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) global, berjaya menyiapkan kerja baik pulih pertama bagi bilah kipas Collins Aerospace 568F di pusat baik pulih baharunya di Malaysia.

 

Ia adalah kejayaan pertama jenis kipas tersebut dibaik pulih di rantau Asia, sekali gus memperkukuh keupayaan industri penyelenggaraan pesawat di Malaysia dan rantau ini.

 

Sebelum ini, semua kipas Collins Aerospace 568F perlu dihantar ke Amerika Utara atau Eropah untuk baik pulih penuh. 

 

Namun, dengan pembukaan pusat MRO canggih dan diperakui antarabangsa APS di Malaysia, kerja baik pulih kini dapat dilakukan dalam rantau Asia, sekali gus menjimatkan masa dan kos kepada pengendali pesawat.

 

Pengarah Urusan APS Asia Pasifik, Fergus Lopez berkata, kejayaan ini merupakan satu pencapaian penting bagi pengendali pesawat turboprop di rantau Asia Pasifik.

 

“Dengan membawa keupayaan baik pulih kipas Collins Aerospace 568F terus ke Asia, kami dapat membantu syarikat penerbangan menikmati tempoh masa baik pulih yang lebih singkat dan cekap.

 

“Matlamat kami ialah untuk memberikan perkhidmatan bertaraf dunia lebih dekat dengan pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

t

 

Pusat baik pulih APS itu kini beroperasi di Taman Perindustrian Alam Awana, Seksyen U10, Shah Alam, Selangor. 

 

Lokasi strategik ini membolehkan APS menampung permintaan pasaran turboprop yang semakin berkembang di rantau ini.

 

APS merupakan satu-satunya penyedia MRO di Asia dan Amerika yang dilesenkan oleh Collins Aerospace untuk menjalankan kerja baik pulih berpaten bagi sistem kipas 568F. 

 

Lesen eksklusif ini memberikan pengendali pesawat di Asia Pasifik akses kepada proses yang diluluskan oleh pengeluar asal (OEM) serta memastikan standard keselamatan dan kualiti tertinggi.

 

Sebagai pusat pembaikan berlesen Collins Aerospace, APS mempunyai akses penuh kepada penerbitan teknikal serta menggunakan bahan dan proses yang diluluskan OEM. 

 

Syarikat itu juga beroperasi sebagai pusat sehenti dengan keupayaan dalaman penuh untuk pemeriksaan, pembaikan dan baik pulih bilah kipas, hab, penggerak serta komponen lain.

 

APS kini beroperasi di Malaysia, Amerika Syarikat dan Brazil, yang membolehkan syarikat menyokong armada pesawat turboprop utama di seluruh dunia dengan lebih efisien.

 

Dengan kejayaan baik pulih pertama ini, APS mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri penyelenggaraan kipas pesawat global, serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab MRO strategik di rantau Asia Pasifik. - DagangNews.com