KUALA LUMPUR 12 Mac - PETRONAS menjangkakan kenaikan harga minyak mentah global susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran akan memberi kesan bercampur kepada prestasi syarikat itu.
Menurut syarikat minyak nasional tersebut, harga minyak yang lebih tinggi berpotensi meningkatkan pendapatan daripada aktiviti pengeluaran di peringkat huluan, namun manfaat itu dijangka diimbangi oleh peningkatan kos di sepanjang rantaian nilai tenaga.
“Walaupun harga minyak mentah yang tinggi boleh meningkatkan hasil daripada pengeluaran huluan, PETRONAS beroperasi merentasi keseluruhan rantaian nilai tenaga.
“Ini bermakna apabila harga meningkat, kos juga akan naik — termasuk bagi minyak mentah import, penapisan, logistik, penghantaran serta insurans, yang semuanya terkesan secara langsung apabila rantaian bekalan global terganggu akibat ketidaktentuan geopolitik,” katanya.
PETRONAS menjelaskan bahawa impak kewangan terhadap syarikat itu jauh lebih kompleks berbanding pengiraan peningkatan hasil semata-mata.
Menurutnya, kedudukan Malaysia turut menambah kerumitan kerana negara ini masih mengimport sejumlah besar minyak mentah dan produk petroleum bertapis.
“Apabila harga global meningkat secara mendadak, bil import negara turut meningkat dengan ketara. Kos penghantaran dan insurans semasa konflik juga menambah beban ini.
“Pada masa sama, komitmen subsidi bahan api turut meningkat, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada kedudukan fiskal negara,” jelasnya.
PETRONAS turut menegaskan bahawa syarikat itu mempunyai tanggungjawab jelas untuk menyokong keselamatan tenaga domestik, kebolehpercayaan bekalan dan kemampuan harga bagi pengguna di Malaysia.
Keadaan itu menjadikan pendekatan operasi syarikat berbeza berbanding syarikat minyak antarabangsa lain yang beroperasi sepenuhnya berdasarkan pertimbangan komersial.
Menurut PETRONAS, kesan bersih terhadap syarikat bergantung kepada tempoh gangguan bekalan, pergerakan harga minyak global serta tekanan kos di sektor hiliran.
“Dengan perkembangan semasa di Asia Barat, faktor-faktor ini masih tidak menentu,” katanya.
Sehubungan itu, PETRONAS menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan bahan api secara berlebihan kerana tindakan tersebut boleh memburukkan keadaan.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan turut memaklumkan bahawa pengeluaran minyak mentah domestik Malaysia semakin menurun apabila medan minyak matang mengalami penyusutan semula jadi.
Malaysia pernah menghasilkan lebih 700,000 tong minyak sehari pada era 1990-an dan awal 2000-an. Namun ketika ini, pengeluaran minyak mentah domestik dianggarkan sekitar 350,000 tong sehari.
Pada masa sama, sistem penapisan PETRONAS memerlukan kira-kira 600,000 tong minyak mentah sehari bagi memenuhi keperluan bahan api negara, sekali gus mewujudkan jurang struktur yang perlu ditampung melalui import.
“Keadaan ini menjelaskan mengapa Malaysia masih boleh dianggap sebagai pengeksport tenaga bersih secara keseluruhan — melalui eksport gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum lain — namun pada masa yang sama merupakan pengimport minyak mentah bagi tujuan penapisan domestik.
“Kedua-dua situasi ini berlaku serentak dan penting untuk difahami dalam menilai kedudukan tenaga Malaysia ketika ini,” katanya. - BERNAMA








