Anutin sifatkan dakwaan terhadap Anwar berkaitan rundingan Thailand-Kemboja tidak adil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anutin sifatkan dakwaan terhadap Anwar berkaitan rundingan Thailand-Kemboja tidak adil

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Nov - Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, menyifatkan kritikan oleh beberapa kumpulan di Thailand bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam urusan negara jiran sebagai tidak adil.

 

Anwar berkata, perkara itu disampaikan kepadanya melalui panggilan telefon daripada Anutin pada awal pagi semalam.

 

“Beliau menelefon saya pada waktu pagi untuk memberi jaminan bahawa apa yang didakwa (oleh kumpulan Thai) itu tidak benar.

 

“Beliau bersikap baik. Beliau merasakan kritikan itu tidak adil. Katanya, ‘Anwar, tolong... sepanjang apa yang kami tahu, kami tahu peranan kamu. Kamu membantu memudahkan usaha ini (mewujudkan keamanan antara Thailand dan Kemboja)’,” kata Perdana Menteri.

 

 

 

 

 

 

 

Anwar berkata demikian kepada wartawan dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur selepas menamatkan lawatan ke tiga negara di Afrika malam tadi.

 

Anwar turut berkata, apa yang lebih mengejutkannya daripada kritikan kumpulan di Thailand ialah reaksi sebahagian rakyat Malaysia sendiri.

 

“Apa yang lebih mengejutkan saya ialah ada rakyat Malaysia yang terlalu teruja apabila kita dikritik di Thailand… untuk apa?

 

“Ini bukan tentang Anwar… ramai lagi pihak lain yang terlibat (dalam usaha membantu menyelesaikan konflik sempadan Thailand-Kemboja).

 

“Pengkritik seolah-olah berfikir ia peranan satu individu… itu tidak benar,” katanya sambil menambah beliau berharap dapat bertemu Anutin hari ini sebelum berlepas ke Sabah.

 

Pada Ahad lalu, Anwar menolak dakwaan oleh kumpulan di Thailand yang menuduh beliau mencampuri urusan negara tersebut dengan usaha menyelesaikan pertikaian sempadannya dengan Kemboja.

 

Beliau ketika itu berkata dakwaan tersebut langsung tidak berasas, dan mereka yang mengecamnya seharusnya memahami peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara sebelum membuat tuduhan.

 

Sebelum ini dilaporkan sekumpulan individu yang membawa bendera Thailand dan kain rentang berhimpun di Kedutaan Malaysia di Jalan Sathon minggu lalu dan menuduh Anwar, dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Asean, mencampuri usaha Thailand mempertahankan kedaulatannya.

 

 

 

 

 

 

 

Kumpulan itu menuntut agar beliau tidak menekan Thailand untuk berunding dengan Kemboja berhubung kawasan sempadan yang dipertikaikan.

 

Mereka turut mengkritik Anwar atas apa yang digelar sebagai “campur tangan politik” dan mendakwa Malaysia serta Amerika Syarikat cuba mempengaruhi keputusan Thailand secara tidak wajar. - DagangNews.com