KUALA LUMPUR 21 Nov – PPB Group Bhd sekali lagi berdepan tekanan pasaran selepas syarikat bersekutu yang dimilikinya sebanyak 18.8%, Wilmar International Ltd, terpalit dalam satu lagi skandal penipuan korporat berskala besar di China.
Anak syarikat Wilmar, Yihai (Guangzhou) Oils & Grains Industries Co Ltd (Guangzhou Yihai), didapati bersalah oleh Huaibei Intermediate People's Court atas kesalahan penipuan kontrak.
Dalam keputusan peringkat pertama, mahkamah mengarahkan Guangzhou Yihai dan Yunnan Huijia Import & Export Co Ltd membayar pampasan RMB1.88 bilion (RM1.1 bilion) kepada syarikat milik kerajaan, Anhui Huawen International Trade Co Ltd, selain denda RMB1 juta.
Keputusan itu berpunca daripada sabitan bekas pengurus besar Guangzhou Yihai yang didapati menerima rasuah bagi membantu Yunnan Huijia melakukan penipuan terhadap Anhui Huawen. Beliau dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan denda RMB2.8 juta.
Wilmar, bagaimanapun, menegaskan anak syarikatnya menafikan dakwaan tersebut dan akan memfailkan rayuan.
Guangzhou Yihai dalam kenyataannya menuduh bahawa Yunnan Huijia sendiri yang merasuah eksekutif Anhui Huawen bagi memalsukan transaksi perdagangan, menyebabkan kerugian kepada syarikat milik kerajaan itu.
Ia menegaskan tidak pernah terlibat atau mengetahui sebarang penipuan, malah semua pemindahan kargo disahkan oleh pihak Anhui Huawen, dengan harga belian lebih tinggi daripada harga pasaran — sekali gus menafikan wujudnya keuntungan tidak wajar.
Dalam kenyataan pada Khamis, Wilmar berkata Guangzhou Yihai berhasrat untuk merayu terhadap keputusan tersebut kerana berpendapat bahawa prosiding kehakiman peringkat pertama, penentuan fakta, penggunaan bukti dan aplikasi undang-undang adalah salah.
Oleh kerana kes tersebut akan dirayu, keputusan itu belum berkuat kuasa. Justeru, denda yang dikenakan ke atas Guangzhou Yihai tidak perlu dibayar sementara menunggu keputusan rayuan, menurut Wilmar.
“Disebabkan kes ini akan dirayu dan liabiliti muktamad Guangzhou Yihai terhadap kerugian Anhui Huawen masih belum ditentukan, kesan kewangan keputusan tersebut terhadap kumpulan Wilmar dan syarikat masih tidak pasti,” tambah Wilmar.
Pertikaian undang-undang baharu di China ini berlaku selepas Wilmar tewas dalam rayuan terakhirnya pada 2021 dalam kes rasuah berkaitan permit eksport minyak masak di Indonesia.
PPB sebelum ini berkata kumpulan itu boleh berdepan potensi impak sehingga RM600 juta dalam senario paling teruk sekiranya Wilmar kalah dalam rayuan tersebut di Mahkamah Agung Indonesia.
PPB memperoleh hampir 75% pendapatannya daripada Wilmar, meskipun hanya memiliki pegangan 18.8%.
Harga saham PPB ditutup susut 46 sen atau 3.97% kepada RM11.14 pada Khamis, menjadikan modal pasaran kumpulan itu sebanyak RM15.85 bilion. - THE EDGE








