KUALA LUMPUR 8 Sept – Anak syarikat Ireka Corp Bhd, United Time Development Sdn Bhd kini berdepan tuntutan saman berjumlah RM1.03 juta berkaitan projek pangsapuri KaMi Mont Kiara di Kuala Lumpur.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ireka berkata, saman itu difailkan oleh Kejuruteraan Berpadu Maju Sdn Bhd yang sebelum ini merupakan pembekal kepada Ireka Engineering & Construction Sdn Bhd (IECSB).
IECSB, iaitu anak syarikat milik penuh Ireka telah pun ditamatkan operasinya melalui penggulungan sukarela oleh pemiutang pada tahun lalu.
Menurut Ireka, isu itu berpunca daripada pembekalan barangan oleh Kejuruteraan Berpadu kepada IECSB pada tahun 2012.
“Plaintif mendakwa jumlah RM1.03 juta masih belum dijelaskan sehingga kini.
“Bagi menyelesaikan perkara tersebut, IECSB dan Kejuruteraan Berpadu pada tahun 2021 bersetuju dengan satu kontra perjanjian.
“Di bawah perjanjian itu, Kejuruteraan Berpadu membeli sebuah unit pangsapuri KaMi Mont Kiara pada harga RM1.32 juta,” kata Ireka.
Daripada jumlah tersebut, RM1.03 juta ditolak untuk mengimbangi hutang IECSB, manakala baki RM282,648 perlu dibayar oleh Kejuruteraan Berpadu.
Bagaimanapun, selepas IECSB digulung pada Mei 2023, United Time meminta Kejuruteraan Berpadu membuat bayaran progresif terus kepada mereka.
Namun, Kejuruteraan Berpadu didakwa gagal berbuat demikian, menyebabkan United Time mengambil keputusan membatalkan perjanjian jual beli tersebut.
Susulan itu, Kejuruteraan Berpadu kini menuntut sama ada bayaran penuh RM1.03 juta atau secara alternatif sejumlah RM920,626 yang didakwa telah diterima United Time daripada IECSB.
Ireka menjelaskan United Time kini sedang dalam proses melantik firma guaman untuk mempertahankan tuntutan berkenaan. - DagangNews.com








