KUALA LUMPUR 5 Mac – AMS Advanced Material Berhad (AMSB) syarikat pakar aluminium yang membekal dan memproses pelbagai jenis produk aluminium telah menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Tawaran awam permulaan (IPO) AMSB melibatkan penerbitan 113 juta saham baharu serta tawaran jualan 47 juta saham sedia ada.
Saham baharu ini mewakili kira-kira 18.46 peratus daripada jumlah saham syarikat selepas penyenaraian.
Daripada 113 juta saham baharu, sebanyak 30.602 juta saham akan ditawarkan kepada orang awam manakala lebih dua juta saham akan diperuntukkan kepada individu yang layak, manakala 76.502 juta saham akan dijual kepada pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.
Selain itu, 3.741 juta saham baru akan diperuntukkan untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian. Sementara itu, 47 juta saham sedia ada, iaitu 7.68 peratus daripada jumlah saham selepas penyenaraian, juga akan dijual kepada pelabur terpilih.
Dalam perjanjian tersebut, M&A Securities Sdn Bhd akan menjamin pembelian 32.757 juta saham, iaitu saham yang diperuntukkan untuk orang awam dan individu layak, sekiranya tidak habis dijual.
M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO AMSB.
Hasil daripada IPO dijangka digunakan untuk membina kilang dan pejabat baharu di Pulau Pinang, meluaskan pengeluaran produk aluminium untuk arkitek, membuka pusat pengedaran baharu di Kuantan, serta membayar balik pinjaman syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif AMSB, Keith Keh Teng Yang berkata perjanjian itu adalah permulaan penting dalam perjalanan korporat syarikat.
“Pertumbuhan industri aluminium di Malaysia dijangka kukuh, dengan kadar pertumbuhan tahunan 6.39 peratus menjelang 2029.
“Pasaran bernilai tinggi seperti angkasa lepas, semikonduktor, automotif, bahan binaan dan barangan pengguna menawarkan peluang pertumbuhan yang signifikan.
“Penyenaraian ini dijangka mengukuhkan keupayaan operasi AMSB, meningkatkan kecekapan pengeluaran, dan menyokong rancangan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Sementara itu Ketua Kewangan Korporat M&A Securities, Gary Ting pula berkata pengalaman luas AMSB dan peranannya dalam menyokong pelanggan di pelbagai sektor menjadikan mereka rakan kongsi strategik dan berharap kerjasama ini akan terus berkembang ketika AMSB memasuki fasa pertumbuhan seterusnya. - DagangNews.com








