KUALA LUMPUR 23 April – Kepimpinan Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) terus kekal stabil apabila Amir Hamzah Md Isa dipilih semula sebagai Presiden bagi penggal 2026 hingga 2029.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej UNITI Port Dickson itu menang tanpa bertanding dalam pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PKIBM ke-26 di University College of Aviation Malaysia (UniCAM).
Acara tahunan tersebut dengan berlangsung pemilihan setiap tiga tahun itu dirasmikan oleh CEO Education Malaysia Global Services (EMGS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Novie Tajuddin.
PKIBM yang ditubuhkan pada 2000 merupakan satu-satunya organisasi berdaftar serta mewakili 54 institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) milikan Bumiputera di seluruh negara yang diiktiraf KPT.
"Amir Hamzah, 58, yang merupakan penyandang jawatan Presiden sejak empat penggal lalu diumumkan menang tanpa bertanding pada sesi pemilihan kali ini," jelas PKIBM dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi UniCAM, Prof Dr Kapten TUDM (B) Ab Manan Mansor sebagai Timbalan Presiden, manakala Prof Datuk Dr Mohaizi Mohamad dan Prof Datuk Dr Abdul Murad Ahmad mengekalkan Naib Presiden 1 dan 2.

Setiausaha Agung disandang CEO Murni International College, Dr Ramlee Mohd Junus Ranaco dengan Pengarah Shipping and Aviation College, Mohd Shafie Sarip sebagai Penolong Setiausaha Agung.
Sementara itu tambah kenyataan PKIBM lagi, CEO MSU College, Mohd Adnan Rosley dilantik sebagai Bendahari, manakala CEO Felcra College, Eisa Mohamed pula sebagai Penolong Bendahari.
Mesyuarat yang dihadiri 59 perwakilan mewakili 32 IPTS Bumiputera turut memilih beberapa ahli jawatankuasa eksekutif baharu termasuk Norhisyam Abd Rahman, Mohd Nasir Idris dan Durrishah Idrus.
Selain itu, Seri Banun Bahtiar dan Faiz Aizat Ab Manan diumumkan sebagai Juruaudit Kehormat.
Beberapa lagi wakil IPTS turut dilantik menganggotai jawatankuasa eksekutif termasuk Shaik Faridhudheen Anverdeen, Muhammad Ihsan Lim Abdullah dan Tina Tajuddin.
Pemilihan ini mencerminkan kesinambungan kepimpinan PKIBM dalam memperkukuh peranan IPTS Bumiputera serta memperjuangkan kepentingan sektor pendidikan tinggi swasta di negara ini. - DagangNews.com








