KUALA LUMPUR 27 Jun - Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lepas.
"Tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskah Rancangan Malaysia ke-13 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan YAB Perdana Menteri untuk saya membantu dengan tugasan di Kementerian Ekonomi.
"Pada masa ini, antara tugas utama saya bersama dengan warga Kementerian Ekonomi adalah kepada memuktamadkan naskah RMK-13 untuk pembentangan di Parlimen pada 31 Julai 2025.
"Banyak maklum balas diterima daripada rakan Menteri-Menteri yang memerlukan rombakan semula intipati RMK-13 supaya memaparkan dengan terbaik dasar keutamaan Kerajaan MADANI serta meneruskan momentum pembaharuan agenda Ekonomi MADANI," kata beliau. - DagangNews.com








