KUALA LUMPUR 29 Jan — AmInvestment Bank meramalkan Jati Tinggi Group Berhad mampu mencatatkan peningkatan keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2026 yang mencecah sebanyak RM20.4 juta.
Menurut firma penyelidikan tersebut, prestasi positif itu dipacu oleh peningkatan hasil naik kepada RM340 juta, berikutan momentum daripada projek pusat data (DC) dan kerja infrastruktur voltan tinggi.
Jelasnya, keuntungan bersih teras FY25 sebanyak RM10.9 juta selaras dengan jangkaan firma itu, meningkat empat kali tahun ke tahun (YoY), selepas FY24 terjejas akibat kelewatan beberapa projek tertentu.
"Pada tahun kewangan tersebut, berlaku isu kelulusan akses dan kesesakan trafik terutama di pusat bandar Kuala Lumpur yang menjejaskan prestasi Jati Tinggi," kata AmInvest dalam notanya hari ini.
Bagaimanapun, prestasi suku keempat mencatat hasil dan keuntungan bersih teras naik masing-masing 60.2% dan 9.9% suku ke suku (QoQ), walaupun margin bersih menurun akibat peningkatan jualan kabel.
Pemacu utama keuntungan itu tambah firma tersebut, adalah menerusi dua projek voltan tinggi yang berkapasiti 275kV bagi sambungan DC di Johor dan Selangor, serta menyumbang 36% daripada hasil.
Jati Tinggi jelas AmInvest, ketika ini memiliki buku tempahan bernilai RM733 juta iaitu 3.8 kali liputan hasil dan buku tender RM4.5 bilion, yang memberikan laluan pendapatan berbilang tahun.
"Dengan rekod kukuh dalam kerja infrastruktur tenaga dan projek DC, kami mengekalkan saranan ‘beli' dan harga sasaran (TP) yang masih tidak berubah kepada RM1.00 sesaham," jelas firma berkenaan.
Unjuran tersebut berdasarkan ramalan nisbah harga saham kepada pendapatan (PE) pada FY27 sebanyak 16 kali dan pertumbuhan keuntungan ke hadapan sebanyak 88%. - DagangNews.com








