KUALA LUMPUR 14 Julai – Amanah Saham Sarawak (ASSAR) berpotensi dibuka kepada pelabur bukan Bumiputera menerusi penubuhan dana baharu, ASSAR 2, dalam usaha kerajaan Sarawak memperluaskan penyertaan rakyat dalam skim amanah saham milik negeri itu serta membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah meminta Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi ASSAR mengkaji kebolehlaksanaan penubuhan ASSAR 2 sebagai pelengkap kepada skim sedia ada yang dikhususkan untuk pelabur Bumiputera.
Cadangan itu mengambil inspirasi daripada struktur pelbagai dana yang diperkenalkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), yang menawarkan produk pelaburan kepada kumpulan pelabur berbeza.
"ASSAR ketika ini memberi tumpuan kepada pelabur Bumiputera. Kita melihat apa yang telah dilakukan oleh PNB dan mungkin kita boleh memperkenalkan satu lagi dana, ASSAR 2, bagi memberi peluang kepada rakyat Sarawak bukan Bumiputera untuk menyimpan dan melabur melalui Amanah Saham Sarawak.
"Dasar kita adalah inklusif. Ini akan mewujudkan dua saluran pelaburan dan membolehkan lebih ramai rakyat Sarawak mengambil bahagian dalam ekonomi negeri yang berkembang dengan sangat baik," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan dividen akhir ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 di Kuching pada Isnin.
Cadangan masih di peringkat kajian
Abang Johari berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat penilaian dan tertakluk kepada penelitian serta kelulusan Lembaga Pengarah ASSAR sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Menurut beliau, jika dilaksanakan, ASSAR 2 akan memperluaskan asas pelabur dana negeri itu selain memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Sarawak menyertai instrumen pelaburan tempatan yang berkait rapat dengan pembangunan ekonomi negeri.
Beliau turut membayangkan peranan lebih besar ASSAR sebagai pelabur institusi dalam projek-projek infrastruktur strategik Sarawak sejajar agenda pembangunan jangka panjang negeri.
Antara projek yang dikenal pasti termasuk pembangunan pelabuhan laut dalam, lapangan terbang antarabangsa, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan Sarawak serta kerja-kerja menaik taraf Pelabuhan Miri yang dijangka mewujudkan peluang pelaburan baharu.
"Terdapat peluang untuk mereka melabur dalam ekonomi kita yang sedang berkembang pesat. Bersama bank saudagar dan bank pelaburan, mereka boleh mewujudkan struktur pembiayaan melalui bon atau sukuk bagi menyokong pembangunan ini," katanya.
ASSAR umum dividen setiap enam bulan
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata, prestasi ASSAR terus kukuh sejak penstrukturan semulanya pada penghujung 2022, dengan dana itu mengisytiharkan dividen setiap enam bulan sejak Januari 2024.
Beliau turut menggalakkan rakyat Sarawak membudayakan amalan menabung dan melabur sejak awal kerana sumbangan kecil yang dibuat secara konsisten mampu berkembang menjadi kekayaan dalam jangka panjang.
"Kalau seseorang hanya mempunyai RM50, kenapa tidak melaburkan RM10 dalam ASSAR? Sedikit demi sedikit, ia akan berkembang.
"Inilah budaya pelaburan yang ingin kita pupuk kerana kita mempunyai instrumen pelaburan yang baik dan saya percaya semua rakyat Sarawak, tanpa mengira latar belakang, boleh bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri," katanya. - DagangNews.com








