Alpha IVF buka Pusat Rawatan IVF di Jakarta, sasar pasaran kesuburan terbesar Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alpha IVF buka Pusat Rawatan IVF di Jakarta, sasar pasaran kesuburan terbesar Indonesia

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 MacAlpha IVF Group Berhad memperluaskan kehadiran di Indonesia dengan merancang menubuhkan sebuah pusat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) penuh di ibu negaranya, Jakarta.


Kumpulan pakar rawatan kesuburan tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata, usaha terbaharu itu bagi memanfaatkan potensi permintaan tinggi terhadap rawatan kesuburan di negara berkenaan.


Ia memeterai perjanjian pajakan ruang klinikal melalui anak syarikatnya, PT Alpha IVF Dan SPOG Jakarta, bersama PT Surya Inter Wiesa bagi mendapatkan lokasi strategik untuk pusat berkenaan.


"Premis ini akan ditempatkan di Kampus Bioperubatan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Banten di Bandar Bumi Serpong Damai (BSD) yang terletak dalam kawasan metropolitan Jakarta Raya," tambah Alpha IVF.


Kemudahan tersebut jelasnya, dijangka beroperasi pada Oktober 2026, dan menjadi fasiliti kedua di Indonesia selepas Bali yang kini dalam pembinaan dan diunjurkan beroperasi pada tahun depan.


Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata kawasan metropolitan Jakarta dengan 35 juta penduduk merupakan antara pasaran kesuburan paling besar di Asia Tenggara.


Menurut beliau, berdasarkan penanda aras global, rantau tersebut memerlukan sekitar 45,000 kitaran IVF setiap tahun, namun hanya sejumlah 6,342 kitaran yang berjaya direkodkan sepanjang 2024 lalu.


“Ini menunjukkan terdapat jurang permintaan yang amat besar dan peluang pertumbuhan jangka panjang bagi perkhidmatan rawatan kesuburan di seluruh kawasan itu,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
 

Alpha IVF


Laporan PERFITRI 2024 mendedahkan sebanyak 15,041 kitaran teknologi reproduktif dibantu (ART) direkodkan di Indonesia pada 2024 dengan lebih 42% atau 6,342 kitaran di kawasan Jakarta Raya.


Sementara itu jelas kenyataan Alpha IVF, pusat baharu di Jakarta bakal dibangunkan dengan keluasan kira-kira 612.46 meter persegi serta turut akan meliputi sejumlah ruang klinikal dan makmal.


Kumpulan itu merancang membelanjakan 47 bilion rupiah (RM10.9 juta) sebagai perbelanjaan modal (capex) bagi pembangunan pusat berkenaan yang dibiayai melalui dana dalaman syarikat tersebut.


"Pusat ini dilengkapi sistem canggih termasuk 'Cryotec vitrification', 'Time-Lapse Embryoscope', dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketepatan embrio," katanya.


Selain itu, pakar-pakar IVF kanan dari Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dengan pakar kesuburan tempatan Indonesia bagi memastikan standard kejayaan rawatan IVF bertaraf antarabangsa.


Alpha IVF berkata lokasi pusat itu dalam Zon Ekonomi Khas BSD memberi kelebihan operasi termasuk insentif cukai, proses kawal selia lebih pantas, dan akses rantaian bekalan farmaseutikal khusus.


Tambah syarikat itu, pembukaan pusat di Jakarta membuka peluang melibatkan pakar perubatan global dan dijangka mempercepatkan pengembangan operasi Alpha IVF di pasaran rawatan kesuburan terbesar.


"Kami turut berkeyakinan, operasi fasiliti ini meningkatkan keterlihatan pendapatan kumpulan daripada wilayah tersebut dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com