Aliran tunai bersih kukuh beri kelebihan Sunway Construction rebut "gelombang kedua" pembangunan pusat data - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aliran tunai bersih kukuh beri kelebihan Sunway Construction rebut "gelombang kedua" pembangunan pusat data - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 April - Profil buku tempahan yang kukuh meletakkan Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan “gelombang kedua” pembangunan pusat data yang sedang berkembang pesat, didorong oleh permintaan tinggi terhadap infrastruktur digital, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku tempahan tertunggak SunCon meningkat kepada RM8.7 bilion setakat ini, disokong oleh perolehan kontrak baharu yang memberangsangkan.

 

Ia termasuk sumbangan RM3.0 bilion kontrak baharu yang diperoleh setakat tahun ini (YTD), sekali gus meletakkan kumpulan itu pada landasan kukuh untuk mencapai sasaran pengisian semula buku tempahan 2026 sebanyak RM6.0 bilion.

 

"Setakat ini, SunCon telah mencapai 48% daripada sasaran tersebut, mencerminkan momentum berterusan dalam aktiviti perolehan projek baharu di tengah persekitaran industri yang kompetitif.

 

"Menariknya, projek pusat data kini membentuk komponen terbesar dalam buku tempahan kumpulan dengan anggaran kira-kira 60%, menandakan tumpuan strategik SunCon terhadap segmen berpertumbuhan tinggi itu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MBSB Research berkata, selain itu, kerja dalaman daripada Kumpulan Sunway menyumbang RM2.42 bilion atau 27.8% daripada keseluruhan buku tempahan , memberikan sokongan berterusan kepada aliran pendapatan kumpulan.

 

Sehubungan itu mengekalkan saranan 'BELI' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM7.68, disokong oleh asas fundamental kukuh serta prospek pertumbuhan yang mampan dalam sektor pembinaan.

 

Kekuatan kunci kira-kira dan kedudukan tunai bersih sebanyak RM1.70 bilion, memberikan fleksibiliti kewangan dalam mengembangkan perniagaan.

 

Kumpulan itu juga kekal memberi tumpuan kepada segmen pembinaan pusat data yang menjadi pemacu utama pendapatan, dengan kira-kira 60% daripada buku pesanan semasa bernilai RM8.70 bilion terdiri daripada projek berkenaan.

 

Selain itu, SunCon giat mempelbagaikan sumber pendapatan melalui penglibatan dalam projek infrastruktur berskala besar, tenaga boleh diperbaharui serta inisiatif pembiayaan swasta, di samping terus memanfaatkan kerja komersial dan dalaman daripada Sunway Bhd.

 

Dari sudut unjuran, MBSB Research menurunkan anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 3% berikutan tekanan kos bahan binaan yang meningkat.

 

Bagaimanapun, langkah itu masih mencerminkan margin bersih sekitar 8%, meningkat satu mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.

 

“Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik, prospek SunCon kekal positif disokong pendedahan kukuh kepada projek pusat data yang berkembang pesat,” katanya.

 

Sehubungan itu, harga sasaran disemak semula kepada RM7.68 dengan mengambil kira unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26F sebanyak 33.1 sen dan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 23.2 kali, iaitu satu sisihan piawai melebihi purata lima tahun.

 

Dalam pada itu, profil defensif SunCon dilihat mampu mengekang risiko penurunan di tengah tekanan kos, disokong oleh struktur projek yang seimbang antara kontrak kos tambah dan harga tetap pada nisbah kira-kira 50:50.

 

Pendedahan langsung kepada kos bahan api juga terhad memandangkan kos diesel sebahagian besarnya ditanggung oleh subkontraktor, manakala kontrak kos tambah membolehkan pemindahan kos dilakukan secara berkesan.

 

Bagi projek harga tetap pula, kebanyakannya telah mencapai tahap siap antara 50% hingga 60%, sekali gus mengurangkan risiko inflasi kos selanjutnya.

 

Selain itu, pendekatan perakaunan konservatif yang diamalkan kumpulan dengan membuat peruntukan awal bagi lebihan kos dan hanya membalikkan lebihan tersebut pada tahap siap 80% hingga 85% turut menyokong kestabilan prestasi kewangan. - DagangNews.com