KUALA LUMPUR 20 Feb – Penyertaan pelabur asing dalam pasaran bon Malaysia meningkat bagi bulan keempat berturut-turut pada Januari 2026 dengan aliran masuk bersih mencecah RM951.9 juta, menurut RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).
Agensi penarafan itu berkata, aliran masuk bersih tersebut dipacu terutamanya oleh permintaan berterusan terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang mencatatkan aliran masuk sebanyak RM2.1 bilion sepanjang bulan berkenaan.
Bagaimanapun, aliran masuk itu sebahagiannya diimbangi oleh aliran keluar daripada Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB), Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) serta bon korporat yang masing-masing merekodkan aliran keluar RM480 juta dan RM709.3 juta.
Menurut RAM Ratings, momentum pembelian bersih tersebut bagaimanapun lebih sederhana berbanding bulan-bulan sebelumnya, susulan jurang hasil yang semakin melebar antara Perbendaharaan Amerika Syarikat (US Treasuries) dan MGS serta jangkaan berhati-hati terhadap hala tuju pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.
Hasil Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat 8 mata asas bulan ke bulan kepada 4.26% pada akhir Januari, mencerminkan hasil global yang lebih tinggi apabila pasaran menilai semula kadar dan masa pelonggaran monetari di Amerika Syarikat.
Sebaliknya, hasil MGS 10 tahun susut 1.4 mata asas kepada 3.52%, disokong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta jangkaan dasar monetari tempatan yang stabil.
Perkembangan itu menyebabkan jurang hasil melebar kepada 74.4 mata asas berbanding 65 mata asas pada akhir Disember 2025, sekali gus berpotensi mengurangkan daya tarikan relatif bon Malaysia dalam kalangan pelabur asing.
RAM Ratings turut memaklumkan bahawa tumpuan pasaran kini beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada Mac 2026, ketika pelabur menilai semula trajektori kadar faedah susulan pasaran buruh AS yang masih kukuh.
Menurutnya, perkembangan global itu dijangka terus mempengaruhi sentimen pelabur asing terhadap pasaran bon domestik dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com








