KUALA LUMPUR 14 Nov – Pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia mencatat aliran masuk bersih yang ketara, melonjak kepada RM8.5 bilion pada suku ketiga 2025 berbanding RM1.6 bilion pada suku kedua, didorong oleh suntikan ekuiti yang lebih besar, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kebanyakan aliran masuk FDI disalurkan ke sektor perkhidmatan, terutamanya dalam subsektor maklumat dan komunikasi serta aktiviti kewangan, khususnya berkaitan dengan aktiviti pusat data.
“Pelabur utama FDI adalah daripada Singapura, China dan Jepun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, pelaburan langsung ke luar negara (DIA) mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM1.7 bilion berbanding aliran masuk bersih sebanyak RM0.6 bilion pada suku sebelumnya.
“Aliran masuk ini didorong oleh likuidasi ekuiti dan pelaburan semula pendapatan, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, dengan majoriti tertumpu dalam subsektor perdagangan borong dan runcit.
“Singapura, Thailand dan Angola merupakan penyumbang utama kepada aliran masuk DIA pada suku tersebut,” katanya.
Mohd Uzir berkata, kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) Malaysia mencatat aset bersih yang lebih tinggi sebanyak RM77.3 bilion pada akhir 3Q 2025.
“Jumlah aset kewangan mencapai RM2.59 trilion, melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.51 trilion. Jumlah terkumpul pelaburan untuk FDI dan DIA masing-masing adalah RM1.02 trilion dan RM615.8 bilion,” katanya.
Mohd Uzir berkata, Asia kekal sebagai rantau utama bagi kedua-dua pelaburan, dengan FDI kebanyakannya datang dari Singapura dan Hong Kong, manakala DIA banyak dilaburkan di Singapura dan Indonesia.
“Simpanan antarabangsa Malaysia berada pada RM520.8 bilion setakat akhir September 2025,” tambahnya. - BERNAMA








