KUALA LUMPUR 21 Nov - Jenama ikonik Itali, Alfa Romeo, kini kembali menyemarakkan jalan raya Malaysia selepas lebih 10 tahun menyepi, di bawah pimpinan DLSB Partners Sdn Bhd, sebuah pengedar bebas dan ahli Atlantis Motor Group.
Kemunculan semula jenama yang bertemakan ‘Drive Beautifully’ ini diserikan dengan debut dua model paling signifikan dalam era moden, iaitu Giulia dan Stelvio Veloce.
Sebagai pengedar bebas, DLSB Partners bertekad untuk menyalakan semula minat terhadap Alfa Romeo dengan fokus baharu terhadap sokongan jangka panjang serta kepuasan pemilik.
Menurut jenama itu, kepulangan Alfa Romeo disokong oleh prestasi cemerlang di pentas global serta warisan selama 115 tahun termasuk ‘DNA perlumbaan’.
Baru-baru ini, kedua-dua model utama jenama itu kembali menerima penghormatan dalam pertandingan ‘BEST CARS’ di Jerman, apabila Giulia dinobatkan sebagai juara buat kali ke-8 untuk kategori ‘Midsize Import’, manakala Stelvio memenangi kategori ‘Large SUV/Off-road Vehicle Import’.
Menurut DLSB Partners, Program ‘Famiglia Alfa Romeo’ turut diperkenalkan sebagai penghargaan kepada pemilik sedia ada serta Alfa Romeo Owners Club yang diasaskan pada 1993. Program ini menawarkan sokongan profesional bagi semua model klasik mahupun moden yang merangkumi juruteknik bertauliah, alat ganti tulen dan bantuan tepi jalan.
Pengarah Eksekutif, DLSB Partners Sdn Bhd, Datuk Douglas Cheng berkata, rakyat Malaysia mempunyai hubungan istimewa dengan Alfa Romeo kerana memahami kereta bukan sekadar alat pengangkutan, tetapi pencetus perasaan dan emosi.
"Kami amat berbesar hati dapat menghidupkan kembali ikatan itu, Alfa Romeo hanyalah permulaan kami bakal memperkenalkan lebih lagi jenama yang menarik," kata beliau.
Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata, kemunculan semula di Malaysia bukan sekadar kebangkitan jenama, tetapi penyalaan semula emosi dan jiwa dalam dunia pemanduan.
"Bersama rakan kongsi kami, DLSB, kami teruja untuk mengembangkan komuniti ‘Alfisti’, serta meraikan hubungan unik antara pemandu dan mesin,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai penutup, Alfa Romeo Malaysia turut mengumumkan penyertaan sebagai penaja utama ITF World Tennis Tour M15 yang berlangsung dari 10 hingga 23 November 2025 di Pusat Tenis Negara. - DagangNews.com








