KUALA LUMPUR 28 Nov – Ahli perniagaan Albert Tei ditahan dalam satu operasi mengejut apabila sekumpulan individu bertopeng didakwa memaksa masuk ke kediamannya, menurut peguamnya, Zaid Malek.
Zaid berkata beliau tiba di rumah Tei dan menyaksikan beberapa anggota sedang merempuh pintu sebelum menggari dan menahan anak guamnya.
“Saya dinafikan akses dan dihalang bertemu anak guam walaupun telah memperkenalkan diri sebagai peguam yang mewakilinya.
“Tiada seorang pun anggota memperkenalkan diri. Kegagalan berbuat demikian adalah tindakan melampau dan tidak sah,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, anggota terbabit hanya mula berkomunikasi selepas beliau merakam gambar insiden itu dan seterusnya didakwa menuntut secara tidak sah untuk memeriksa telefonnya bagi melihat imej tersebut.
Tei kemudian dibawa keluar dalam keadaan bergari, dikelilingi beberapa anggota bersenjata lengkap dengan balaklava.
“Ia seolah-olah mereka menahan seorang pengganas. Saya sendiri tidak pasti sama ada mereka polis atau pegawai SPRM,” ujarnya.
Zaid mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran hak perlembagaan Tei, mendakwa proses undang-undang telah diabaikan dan haknya untuk mendapatkan khidmat peguam turut dinafikan.
Setakat laporan ini diterbitkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung penahanan Tei atau dakwaan yang dibangkitkan Zaid. - DagangNews.com








