Alam Maritim mohon keluar status PN17 lebih awal selepas selesai penstrukturan hutang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Alam Maritim mohon keluar status PN17 lebih awal selepas selesai penstrukturan hutang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Mei - Alam Maritim Resources Berhad memohon untuk keluar lebih awal daripada status Practice Note 17 (PN17) selepas berjaya melaksanakan penstrukturan semula hutang dan penyusunan semula modal bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangannya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat perkhidmatan luar pesisir itu berkata, permohonan telah dikemukakan kepada Bursa Securities untuk menarik balik klasifikasi PN17 yang dikenakan terhadap syarikat sejak 2022.

 

Permohonan tersebut dibuat susulan kejayaan menyempurnakan pengurangan modal saham bernilai RM440 juta pada Oktober tahun lalu sebagai sebahagian daripada pelan regularisasi kumpulan.

 

Pelaksanaan pelan itu turut melibatkan penyatuan saham 10 kepada satu, terbitan hak boleh lepas berserta waran serta skim pengaturan dengan pemiutang.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 (9MFY2026), Alam Maritim merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM100.2 juta berbanding RM43.9 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan prestasi itu didorong terutamanya oleh pengecualian hutang yang diiktiraf menerusi pelaksanaan penstrukturan semula kumpulan, khususnya dalam segmen kapal sokongan luar pesisir (OSV).

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan susut 27.9% kepada RM281.8 juta berbanding RM390.6 juta sebelum ini disebabkan sumbangan lebih rendah daripada perniagaan perkhidmatan subsea dan OSV.

 

Alam Maritim mula diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 pada 2022 selepas juruaudit luar syarikat, Baker Tilly Monteiro Heng PLT, mengeluarkan penafian pendapat terhadap penyata kewangan teraudit kumpulan bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2022.

 

Status PN17 merujuk kepada syarikat tersenarai yang menghadapi masalah kewangan dan perlu melaksanakan pelan regularisasi untuk mengekalkan status penyenaraiannya di Bursa Malaysia. - DagangNews.com