KUALA LUMPUR 21 April - AIROD Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Airbus Defence and Space bagi memperkukuh keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat pengangkut tentera Airbus A400M milik Malaysia.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung sempena Defence Services Asia 2026 (DSA 2026) dan disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mencerminkan kepentingan strategik kerjasama tersebut kepada pembangunan industri aeroangkasa pertahanan negara.
AIROD, anak syarikat kepada National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI), berkata mandat itu turut mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhadap keupayaannya dalam memastikan tahap kesiapsiagaan operasi pesawat berada pada tahap optimum.
Sebagai pengeluar peralatan asal (OEM) bagi pesawat A400M, Airbus Defence and Space akan menyokong pembangunan keupayaan tempatan melalui pemindahan kepakaran teknikal, piawaian serta amalan terbaik, sekali gus memperkukuh ekosistem MRO dalam negara.
Melalui MoU tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk pembangunan program latihan teknikal A400M, pembaikan struktur pesawat di luar skop, pengembangan perkhidmatan MRO khusus seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT) Tahap 3 dan kerja pengecatan pesawat, serta memposisikan AIROD sebagai rakan industri tempatan yang berkelayakan dan pembekal diluluskan Airbus.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, AIROD juga dijangka menyokong penyelenggaraan armada A400M TUDM termasuk aktiviti pengecatan pesawat dengan kerjasama Satys Aerospace, rakan Tier 1 Airbus yang berpengalaman dalam barisan pemasangan akhir pesawat bagi program awam dan ketenteraan.
Kerjasama tersebut dijangka memperkenalkan teknologi pengecatan terkini, penggunaan bahan termaju serta amalan terbaik global yang mampu meningkatkan keupayaan teknikal AIROD selaras dengan piawaian aeroangkasa antarabangsa.
Selari Hala Tuju Strategik
Secara keseluruhan, inisiatif ini selari dengan hala tuju strategik negara dalam memperkukuh industri pertahanan melalui pembangunan keupayaan tempatan, pemindahan teknologi serta peningkatan kebergantungan kendiri, disokong oleh kerangka seperti Program Kolaborasi Industri (ICP) dan Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP).
Presiden Kumpulan NADI, Edron Hayata Ahmad berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem aeroangkasa pertahanan Malaysia.
“Dengan memajukan keupayaan MRO tempatan bagi platform A400M, kami bukan sahaja menyokong kesiapsiagaan operasi TUDM, malah memposisikan Malaysia sebagai hab serantau yang berwibawa dalam penyelenggaraan pesawat ketenteraan,” katanya.
Beliau menambah, AIROD kekal komited untuk memacu pemindahan teknologi, membangunkan bakat tempatan berkemahiran tinggi serta menyokong pelaksanaan Program Kolaborasi Industri dalam usaha meningkatkan industri aeroangkasa negara ke tahap global. - DagangNews.com








