KUALA LUMPUR 23 Feb — Syarikat penerbangan baharu milik kerajaan negeri Sarawak, AirBorneo, telah menandatangani kerjasama strategik dengan IBM Malaysia Sdn Bhd bagi membangunkan rumusan data dan automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan untuk operasi komersial pada 2026.
Dalam kenyataan hari ini, IBM Malaysia berkata, AirBorneo mengguna pakai seni bina digital bersepadu yang membolehkan operasi lancar, pengambilan keputusan berasaskan data, dan pengalaman pelanggan dipertingkatkan sejak hari pertama operasi.
“AirBorneo akan melaksanakan IBM webMethods Hybrid Integration dan IBM Cloud Pak for Integration untuk mengautomasi dan menyambungkan proses perniagaan, aplikasi serta aliran data kritikal merentasi ekosistem operasinya.
Pendekatan ini membolehkan penglihatan masa nyata, pertukaran data selamat dan kelincahan operasi lebih tinggi di seluruh sistem syarikat penerbangan,” kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, berkata syarikat penerbangan itu akan memanfaatkan AI untuk penglibatan pelanggan pintar dan operasi penerbangan yang dioptimumkan.
“Ketika kami bersiap untuk operasi jet pada Julai 2026, visi kami adalah menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar serta mengukuhkan kesalinghubungan serantau ke Sabah dan Sarawak, sambil menerajui inovasi yang mentakrif semula landskap penerbangan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Negara dan Ketua Teknologi IBM Malaysia, Dickson Woo, berkata membina syarikat penerbangan bertaraf dunia memerlukan lebih daripada pesawat dan infrastruktur; ia memerlukan asas digital pintar yang mampu menjangka keperluan penumpang, mempermudah operasi, dan memperkasakan kakitangan.
“Kerjasama IBM-AirBorneo menekankan komitmen bersama kami untuk meletakkan AI di teras transformasi AirBorneo, membentuk masa depan penerbangan melalui inovasi dan kepintaran,” katanya.
IBM merupakan penyedia global terkemuka dalam awan hibrid, AI dan perundingan, menyokong pelanggan di lebih 175 negara untuk memanfaatkan data, mempermudah operasi, mengurangkan kos dan meningkatkan kelebihan daya saing. - BERNAMA








