AirBorneo akan ubah Sarawak seperti mana Emirates mengubah Dubai - Abang Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AirBorneo akan ubah Sarawak seperti mana Emirates mengubah Dubai - Abang Johari

KUALA LUMPUR 20 Julai - AirBorneo akan dibangunkan secara organik sebagai syarikat penerbangan strategik milik Sarawak bagi menyokong pembangunan ekonomi negeri dengan aspirasi menjadi pemangkin transformasi seperti yang dicapai syarikat penerbangan Emirates di Dubai.

 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, AirBorneo akan berkembang secara berperingkat dan menjadi antara sektor strategik dalam industri perkhidmatan Sarawak.

 

Beliau berkata, pengalaman melihat pembangunan Dubai yang dipacu oleh Emirates menjadi antara inspirasi kepada hala tuju AirBorneo.

 

 

 

 

 

 

“Kita mahu mengembangkan syarikat penerbangan ini secara organik dan ia menjadi satu daripada sektor strategik dalam industri perkhidmatan.

 

“Saya pernah menyebut pada akhir 70-an, saya pernah pergi ke Dubai. Dubai bukanlah apa-apa. Tetapi Dubai hari ini, anda boleh melihat Dubai kerana Emirates dan bagaimana syarikat itu diuruskan.

 

AbangJoUkas
Abang Johari Tun Openg berucap merasmikan Penerbangan Sulung AirBorneo bagi laluan Kuching ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Isnin. - Gambar/ Unit Komunikasi Awam Sarawak

 

“Dengan latar belakang itu, sebagai sebuah syarikat penerbangan baharu yang berkembang secara organik, saya berharap Sarawak akan menjadi seperti Dubai selepas 2030 kerana Dubai tidak mempunyai sumber, tetapi kita mempunyai sumber, dasar pendidikan yang baik serta sedang meneroka ekonomi baharu,” katanya lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Penerbangan Sulung AirBorneo bagi laluan Kuching ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, pada Isnin.

 

Pemangkin Pelancongan Perubatan

Abang Johari berkata, AirBorneo dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan pelancongan perubatan di Sarawak dengan memudahkan lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara mendapatkan rawatan kesihatan di negeri ini.

 

Katanya, Sarawak kini mempunyai beberapa hospital swasta yang semakin berkembang dan bakal memiliki pusat kanser bertaraf moden, sekali gus berpotensi menarik lebih ramai pesakit dari luar negara mendapatkan rawatan di negeri ini.

 

“Kita juga akan membina sebuah pusat kanser. Ini merupakan satu inisiatif logistik untuk membolehkan orang datang ke Sarawak mendapatkan rawatan," katanya.

 

 

 

 

 

 

Penerbangan ke Singapura

Dalam pada itu, Abang Johari turut memaklumkan AirBorneo akan memulakan penerbangan ke Singapura sempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini.

 

Selain itu, pesawat ATR sedia ada akan digantikan secara berperingkat dengan pesawat ATR baharu yang lebih moden mulai tahun hadapan, manakala konfigurasi kabin juga akan dipertingkatkan bagi menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa. - DagangNews.com