KUALA LUMPUR 27 Ogos - Keuntungan bersih AirAsia X Bhd (AAX) melonjak kepada RM35.22 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q 2025), berbanding RM4.82 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, AAX berkata hasil pada suku tersebut susut kepada RM660.80 juta berbanding RM669.14 juta sebelumnya.
“Walaupun terdapat sedikit pengurangan hasil, kumpulan mencatatkan kapasiti yang lebih tinggi serta peningkatan kadar penggunaan tempat duduk sepanjang suku berkenaan, mencerminkan kecekapan operasi yang lebih baik dan permintaan penumpang yang berterusan di laluan utama,” katanya.
Bagi enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2025, AAX merekodkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM85.43 juta berbanding RM84.94 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM1.60 bilion daripada RM1.58 bilion sebelumnya.

Mengenai prospek, AAX berkata setakat 30 Jun 2025, kumpulan mengekalkan sebanyak 19 pesawat, dengan 18 daripadanya kini beroperasi manakala pengaktifan semula pesawat terakhir, yang pada asalnya dijadualkan pada Jun 2025, telah ditangguhkan ke separuh kedua tahun ini berikutan kekurangan enjin pesawat di peringkat industri.
“Dalam 2Q 2025, kumpulan telah membawa 935,218 penumpang daripada 1.21 juta tempat duduk, sekali gus mencapai faktor muatan sihat sebanyak 83 peratus bagi suku berkenaan dan juga bagi separuh pertama tahun ini.
“Lembaga pengarah berasa teruja dengan prestasi tersebut dan kekal yakin untuk mencapai sasaran dalaman yang telah diterbitkan,” katanya sambil menambah bahawa permintaan bermusim yang kukuh dijangka pada 4Q 2025, dengan jualan hadapan kekal kukuh disokong oleh tren positif hasil sampingan.
AAX berkata meskipun ketidaktentuan geopolitik berterusan, kumpulan kekal berhemat dalam menguruskan turun naik kadar pertukaran asing serta harga bahan api.
“Selain itu, penurunan harga bahan api jet baru-baru ini turut menyokong usaha kumpulan mengekalkan struktur kos yang disiplin,” tambahnya. - DagangNews.com








