Aidilfitri: Kerajaan umum diskaun tol 50% selama dua hari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Aidilfitri: Kerajaan umum diskaun tol 50% selama dua hari

Lebuhraya DASH - Gambar Prolintas
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac – Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus untuk semua kenderaan persendirian Kelas 1 di lebuh raya bertol seluruh negara bersempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

 

Namun, diskaun ini tidak termasuk bagi pintu tol di sempadan negara seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

 

Diskaun itu akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam 18 Mac 2026 (Rabu) dan berakhir pada 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis) untuk memberikan peluang kepada pengguna lebuh raya menikmati pengurangan kos perjalanan selama 48 jam.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini bertujuan untuk meringankan beban rakyat yang merancang untuk pulang ke kampung pada musim perayaan. 

 

“Kos pampasan bagi syarikat konsesi tol dianggarkan sekitar RM21.03 juta ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata pemberian diskaun itu adalah antara inisiatif kerajaan untuk memastikan beban kewangan rakyat dalam dikurangkan ketika menyambut Aidilfitri. - DagangNews.com