Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah rasuah RM8 juta bagi mendapatkan pinjaman projek gentian optik pesisir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah rasuah RM8 juta bagi mendapatkan pinjaman projek gentian optik pesisir

KUALA LUMPUR 23 Feb — Ahli perniagaan, Datuk Ranjeet Singh Sidhu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM8 juta kepada bekas presiden sebuah bank pembangunan berhubung projek rangkaian gentian optik pesisir, 14 tahun lalu.

 

Tertuduh berusia 56 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

 

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memberi rasuah RM8 juta kepada bekas Presiden dan Pengarah Urusan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim sebagai dorongan untuk membantu meluluskan permohonan pinjaman RM400 juta oleh V Telecoms Berhad daripada BPMB.

 

Pinjaman berkenaan adalah bagi membangunkan rangkaian pesisir yang terdiri daripada rangkaian gentian optik di sekitar Semenanjung Malaysia, lapor New Straits Times.

 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

 

Selain itu, Ranjeet turut berdepan dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen pada tempat dan masa yang sama.

 

Bagi satu pertuduhan, beliau didakwa menggunakan dokumen “Joint Completion Guarantee” antara V Telecoms Berhad dan Huawei Technologies Co Ltd bertarikh 21 Jun 2012 sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman RM400 juta daripada BPMB bagi membiayai projek sama.

 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan menawarkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin serta memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali sehingga kes selesai.

 

Peguam Datuk Gobinath Mohanna yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah dan memaklumkan bahawa pasport anak guamnya telah pun berada dalam simpanan SPRM.

 

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

 

Mahkamah menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.