KUALA LUMPUR 10 Mac – Optimax Holdings Berhad menjalin kerjasama strategik dengan MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan mata kepada lebih 7 juta ahli koperasi di seluruh negara.
Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak yang membuka peluang kepada ahli koperasi serta keluarga mereka mendapatkan rawatan mata melalui rangkaian pusat rawatan Optimax di seluruh Malaysia.
Menerusi inisiatif tersebut, ahli koperasi boleh memanfaatkan Sistem Potongan Gaji ANGKASA bagi membayar kos rawatan, sekali gus memudahkan akses kepada perkhidmatan penjagaan mata berkualiti tanpa perlu menanggung beban kewangan secara sekali gus.
Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Holdings Berhad, Sandy Tan Sing Yee berkata, kerjasama itu sejajar dengan misi syarikat untuk menjadikan rawatan mata berkualiti tinggi lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, dengan capaian kepada lebih 7 juta ahli koperasi dan keluarga mereka melalui rangkaian 24 pusat rawatan di seluruh negara, inisiatif tersebut dijangka meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mata.
Menurutnya, kerjasama dengan MyANGKASA Holdings juga membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk mendapatkan rawatan profesional bagi pelbagai masalah penglihatan dan penyakit mata.
Optimax ialah penyedia perkhidmatan pakar mata yang menawarkan pelbagai rawatan untuk penyakit mata seperti katarak, mata kering, radang mata serta kerosakan pada bahagian tengah retina akibat peningkatan usia.
Selain itu, syarikat turut menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan rawatan mata termasuk pembedahan membetulkan rabun, pemeriksaan mata, pembedahan kelopak mata serta khidmat nasihat dan membekalkan ubat kepada pesakit tempatan dan luar negara.
Ditubuhkan pada 1995, Optimax kini mempunyai rangkaian pusat rawatan mata di seluruh negara dan terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara penyedia perkhidmatan pakar mata terkemuka di Malaysia. - DagangNews.com








