AGX Group perluas operasi di Vietnam, raih kontrak logistik bersama Sun PhuQuoc Airways | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AGX Group perluas operasi di Vietnam, raih kontrak logistik bersama Sun PhuQuoc Airways

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt – AGX Group Berhad, penyedia logistik pihak ketiga melalui anak syarikatnya di Vietnam, AGX Vietnam menandatangani Perjanjian Perkhidmatan bersama Sun PhuQuoc Airways, syarikat penerbangan baharu di bawah Sun Group.

 

Perjanjian itu melibatkan penghantaran dan pengangkutan kargo serta perkhidmatan kastam di mana AGX Vietnam akan menyediakan sokongan logistik menyeluruh termasuk pengendalian penghantaran kritikal Aircraft on Ground (AOG) bagi memastikan operasi Sun PhuQuoc berjalan lancar sepanjang tempoh kontrak.

 

Sun PhuQuoc dilancarkan pada 15 Oktober 2025 di Hanoi sebagai syarikat penerbangan yang fokus kepada destinasi pelancongan di Vietnam, bertujuan meningkatkan keterhubungan antara Pulau Phu Quoc dan pasaran antarabangsa.

 

Rancangan syarikat penerbangan itu  bermula dengan pesawat Airbus A321 dan menambah asset udaranya sehingga 25 pesawat menjelang akhir 2026, serta 35 pesawat pada 2027.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AGX, Datuk Ponnudorai Periasamy berkata, kontrak itu membolehkan syarikat menyokong pertumbuhan industri penerbangan Vietnam yang dijangka meningkat seiring pembukaan lapangan terbang baharu dan pertambahan trafik penumpang. 

 

“Pencapaian ini sejajar dengan rancangan AGX untuk memperluas rantau ASEAN.

 

“Kerjasama ini satu lagi perubahan strategik bagi AGX dalam sektor logistik penerbangan di Vietnam dan menunjukkan keupayaan syarikat menguruskan logistik kritikal yang kompleks dan memerlukan kecekapan dari segi masa,” katanya dalam satu kenyataan.

 

AGX Group Berhad menawarkan perkhidmatan logistik penuh termasuk penghantaran laut dan udara, logistik aeroangkasa, penyimpanan dan pengangkutan jalan raya. 

 

Syarikat itu beroperasi di 8 negara termasuk Malaysia, Singapura, Filipina, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, Kemboja (melalui rakan kongsi) dan Thailand (melalui rakan kongsi). - DagangNews.com