Agmo dan Sasbadi bergabung bangunkan model pendidikan digital di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agmo dan Sasbadi bergabung bangunkan model pendidikan digital di Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Feb - Agmo Holdings Berhad mengumumkan kerjasama dengan Sasbadi Holdings Berhad untuk membangunkan Model Bahasa Besar Tempatan berkuasa kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memajukan sektor pendidikan digital di Malaysia.

 

Kerjasama itu akan membawa kepada penubuhan syarikat usaha sama baharu, dengan Agmo dan Sasbadi masing-masing memegang sebanyak 45% dan 55% ekuiti.

 

Menurut terma memorandum perjanjian (MoA), Agmo bertanggungjawab membangunkan dan menyelenggara model tersebut, termasuk menguruskan seni bina model, menyepadukan set data yang diperlukan dan mengoptimumkan prestasi model supaya ia berfungsi dengan lebih baik.

 

Selain itu, Agmo juga akan memberikan sokongan teknikal secara berterusan seperti menyediakan sistem, membaiki masalah, memberi latihan kepada pengguna dan membuat kemas kini berkala untuk meningkatkan model dengan data baharu dan teknologi terkini. 

 

Model tersebut akan disesuaikan dengan platform AI China, DeepSeek dan memanfaatkan teknik AI terkini untuk meningkatkan ketepatan, pemahaman konteks dan interaksi pengguna.

 

Sementara itu, Sasbadi akan menyumbang kepada pembangunan model AI dengan menyediakan kandungan pendidikan yang relevan, memastikan model tersebut sesuai dengan kurikulum tempatan dan memberikan panduan untuk menjadikannya berkesan di pasaran pendidikan Malaysia.

 

Kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam usaha pemasaran dan promosi untuk meningkatkan penerimaan di sektor pendidikan dan korporat. 

 

Dengan memanfaatkan rangkaian dan kepakaran masing-masing, Agmo dan Sasbadi mahu mencipta rumusan pendidikan berasaskan AI yang mesra pengguna, yang dapat meningkatkan penglibatan pelajar, memperbaiki proses pengajaran dan melahirkan pelajar yang berkemahiran digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Agmo Holdings Berhad, Tan Aik Keong berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk mendorong sempadan teknologi dan menyediakan rumusan yang memberi kesan. 

 

"Dengan menggabungkan kepakaran teknikal Agmo dan pengalaman Sasbadi dalam pendidikan, kami bersedia untuk mencipta produk AI yang lebih pintar dan sesuai dengan keperluan pendidikan unik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holdings Berhad, Law King Hui menyifatkan, MoA tersebut menandakan babak baharu dalam memajukan pendidikan digital.

 

"Kepimpinan Agmo dalam rumusan digital menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal. 

 

"Dengan data menyeluruh dan berkualiti tinggi dari Sasbadi serta pengalaman selama 40 tahun dalam melayani tiga generasi rakyat Malaysia, kami berhasrat menyampaikan rumusan AI yang meningkatkan hasil pembelajaran dan menjadikan proses pembelajaran lebih menarik serta menyeronokkan untuk guru dan pelajar, sambil membuka peluang baharu dalam ekonomi digital," ujarnya. - DagangNews.com