KUALA LUMPUR 11 Mei - Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As Malaysia) mendakwa agensi pengiklanan di negara ini kini berdepan tekanan kewangan yang semakin serius susulan amalan syarat pembayaran terlalu panjang yang dikenakan oleh pengiklan.
Persatuan itu berkata, trend memanjangkan tempoh pembayaran daripada standard 30 hari kepada 90 hari, 120 hari atau lebih lama memberi tekanan besar kepada aliran tunai agensi dan menjejaskan kelangsungan operasi industri.
Presidennya, Tan Kien Eng berkata, keadaan itu secara tidak langsung memaksa agensi membiayai terlebih dahulu aktiviti pemasaran pelanggan.
“Agensi pengiklanan bukan bank. Kami semakin berada dalam situasi di mana kami dijangka membiayai kempen lebih awal, menanggung kos operasi dan pada masa sama menunggu berbulan-bulan untuk menerima bayaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keadaan tersebut bukan sahaja tidak adil malah tidak mampan untuk jangka panjang.
Menurut 4As Malaysia, isu itu lebih ketara dalam aspek pengeluaran kempen apabila vendor pihak ketiga seperti syarikat produksi dan bakat kreatif memerlukan bayaran lebih awal daripada agensi.
Situasi itu menyebabkan agensi terpaksa menanggung ketidaksepadanan aliran tunai yang serius susulan kelewatan pembayaran daripada pelanggan.
Kien Eng berkata, sehingga 70% hingga 80% struktur kos sesebuah agensi melibatkan tenaga kerja dan bakat kreatif.
“Apabila pembayaran ditangguhkan, ia memberi kesan langsung kepada keupayaan kami membayar pekerja tepat pada waktunya, melabur dalam keupayaan baharu dan mengekalkan bakat terbaik.
“Akhirnya, ia turut menjejaskan mutu kerja yang diterima pelanggan sendiri,” katanya.
Dalam masa sama, 4As Malaysia memberi amaran bahawa amalan pembayaran sedemikian boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem industri sekiranya menjadi norma dalam pasaran.
Menurut persatuan itu, agensi yang menerima syarat pembayaran tidak adil berisiko mewujudkan budaya persaingan tidak sihat yang akhirnya menghakis standard industri.
Sehubungan itu, 4As Malaysia menggesa semua agensi supaya lebih tegas dalam memantau kitaran pembayaran serta mengadakan rundingan lebih jelas dengan pelanggan mengenai syarat pembayaran.
Persatuan itu turut menyeru pengiklan supaya kembali kepada tempoh pembayaran yang lebih munasabah, sebaik-baiknya dalam tempoh 30 hari, demi memastikan kelangsungan industri secara mampan.
Kien Eng berkata, walaupun banyak syarikat mempunyai rangka kerja tadbir urus dan kod etika yang baik, syarat pembayaran terlalu panjang bercanggah dengan prinsip keadilan perniagaan.
“Ekosistem agensi yang sihat bukan satu kos, sebaliknya merupakan kelebihan daya saing.
“Agensi memainkan peranan penting dalam membina jenama melalui kreativiti, inovasi dan strategi, namun kreativiti tidak dapat berkembang dalam tekanan kewangan,” katanya. - DagangNews.com








