Afdlin disebut-sebut ganti Suhaimi sebagai Ketua Pengarah Penyiaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Afdlin disebut-sebut ganti Suhaimi sebagai Ketua Pengarah Penyiaran

KUALA LUMPUR 11 Feb - Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki disebut-sebut bakal menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang akan melepaskan jawatan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia akhir bulan ini.

 

Cakap-cakap di Angkasapuri kini semakin kuat menyebut penerbit dan pengarah filem itu merupakan calon paling di hadapan bagi menggantikan Suhaimi selepas tiga tahun bersama RTM.

 

Pemilihan Afdlin, seorang yang terbuka dan memiliki idea-idea segar diyakini mampu menyambung usaha Suhaimi yang berjaya meletakkan RTM menjadi pilihan audiens merentasi semua platform penyiaran.

 

Sementara itu Bernama melaporkan Suhaimi yang mengesahkan pengundurannya berkata, ia adalah keputusan peribadi selepas membuat pertimbangan terperinci terhadap hala tuju peribadi, selain mahu melangkah ke fasa baharu dalam hidup.

 

“Saya kini berusia 64 tahun. Sebelum ini saya sudah bersara, kemudian dipelawa untuk membantu RTM. Pada saya, perkara ini (melepaskan jawatan) sesuatu yang biasa dalam pekerjaan.

 

“Ini pengunduran awal, kontrak saya akan habis pada tahun depan. Pejabat Menteri Komunikasi juga sudah maklum dengan pengunduran saya ini,” kata Suhaimi.

 

Suhaimi berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan penyiaran serta pernah berkhidmat di Kumpulan Media Sarawak, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Awani dan Media Prima.

 

Sebelum ini timbul khabar angin bahawa Suhaimi sudah menyerahkan surat pelepasan jawatan dan bakal menamatkan perkhidmatan pada 22 Feb ini.

 

Suhaimi memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada City University, Bellevue, Washington, Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Portland State University, Portland, Oregon, AS. - DagangNews.com