KUALA LUMPUR 27 Nov – UOA Development Berhad dijangka terus mencatat pertumbuhan keuntungan positif dalam tempoh terdekat, berlandaskan projek baharu dan semasa yang kukuh, kata penganalisis.
Antara projek utama yang bakal memacu keuntungan syarikat tersebut ialah Aethera Residence di Johor Bahru diikuti projek semasa seperti Bamboo Hills Residences, Aster Hill, dan Duo Tower yang turut menyumbang secara signifikan kepada aliran jualan dan pendapatan UOA Development.
Peningkatan pengambilan unit dalam projek-projek ini menunjukkan minat pembeli yang kukuh, walaupun sesetengah projek mencatatkan permintaan perlahan pada suku tertentu.
MBSB Research berkata, keuntungan bersih teras 9MFY25 UOA Development berada di atas jangkaan iaitu sebanyak RM276.5 juta, mewakili 90% daripada ramalan tahunan mereka.
“Keuntungan ini didorong terutamanya oleh bil kemajuan projek yang lebih tinggi dan jualan keseluruhan Southbank Boutique Office.
“Jualan hartanah baru 3QFY25 mencatatkan RM152 juta, hampir sama dengan 2QFY25, menjadikan jumlah jualan 9MFY25 sebanyak RM564.6 juta. Bamboo Hills Residences kekal sebagai penyumbang utama dengan 54% daripada jualan baharu, manakala Aster Hill dan Duo Tower menunjukkan peningkatan pengambilan unit yang memberangsangkan,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
MBSB Research berkata, dengan kedudukan tunai syarikat yang kukuh, tanpa hutang jangka panjang atau pendek, memberi UOA Development kelebihan untuk meneruskan projek-projek baharu dan mengekalkan pertumbuhan margin keuntungan.
“Kami mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM2.01.
“Kami melihat secara keseluruhan, projek semasa dan siri pelancaran projek baharu sebagai kunci kepada pertumbuhan keuntungan syarikat dalam tempoh akan datang,”
katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih UOA Development melonjak lebih dua kali ganda kepada RM115.6 juta pada 3QFY2025
Sementara itu, CGS International menyatakan bahawa siri pelancaran hartanah UOA Development kekal sihat dengan jumlah GDV sebanyak RM930 juta, menunjukkan projek-projek baharu mampu menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan dalam suku akan datang.
Firma penyelidikan itu menekankan projek UOA Business Park Fasa 2 sebagai projek penting yang dijangka menambah nilai kepada pendapatan syarikat.
CGS International berkata, projek utama Aethera Residence di Johor Bahru, dengan GDV RM800 juta yang dijadualkan untuk pelancaran pada akhir FY25F atau awal FY26F akan menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat dalam tempoh setahun hingga dua tahun akan datang.
“Cadangan penyertaan tiga aset pejabat bernilai RM200 juta ke dalam UOA REIT dijangka memberikan keuntungan pelupusan bersih RM36 juta, yang akan menyumbang kepada pendapatan syarikat menjelang akhir FY25F,” kata firma tersebut.
Namun, CGSI juga memberi amaran bahawa pertikaian cukai tambahan RM166 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri masih belum selesai.
“Sekiranya rayuan gagal, caj cukai tambahan boleh mengurangkan ramalan keuntungan bersih FY25F kira-kira 51%, sekali gus menjejaskan prestasi kewangan syarikat.
“Oleh itu, CGSI mengekalkan saranan ‘Hold’ dengan alasan keterlihatan projek jangka panjang yang terhad dan risiko pertikaian cukai masih wujud,” katanya. - DagangNews.com








