KUALA LUMPUR 26 Nov – UOA Development Bhd mencatatkan keuntungan bersih suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY2025) lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya berikutan peningkatan hasil daripada bil kemajuan projek pembangunan yang sedang dijalankan.
Bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2025, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM115.63 juta, berbanding RM48.3 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UOA Development berkata, pendapatan syarikat pula meningkat 54% kepada RM217.3 juta, hasil daripada pembangunan berterusan termasuk pusat perubatan di Bangsar South, Bamboo Hills Residences, Aster Hill dan Duo Tower.
“Setakat 30 September 2025, jualan hartanah baharu syarikat berjumlah RM564.6 juta, dengan Bamboo Hills Residences, Duo Tower, Laurel Residence dan Aster Hill menyumbang sebahagian besar transaksi.
“Jumlah jualan yang belum diterima pula mencecah RM794.9 juta.
“Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, UOA Development mencatatkan keuntungan bersih RM281.29 juta, meningkat 77% berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala jumlah pendapatan terkumpul ialah RM499.57 juta, naik 61% berbanding tahun sebelumnya,” kata UOA Development dalam makluman tersebut.
UOA Development adalah salah satu pemaju hartanah utama di Kuala Lumpur dengan fokus pada projek kediaman dan komersial kelas sederhana hingga premium di Lembah Klang.
Syarikat mempunyai divisyen pembangunan dan pembinaan dalaman yang membolehkan projek disiapkan dengan lebih cepat. - DagangNews.com








