AEON Mall Kinta City dinaik taraf dengan kerjasama KIP REIT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AEON Mall Kinta City dinaik taraf dengan kerjasama KIP REIT

Gambar/Portal Jom Melancong
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 5 Mac - Aeon Co (M) Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemegang amanah bagi KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT), Pacific Trustees Berhad, untuk menaik taraf dan mengubah suai AEON Mall Kinta City di Perak. 

 

Pengembangan itu mencerminkan komitmen KIP REIT terhadap inisiatif peningkatan aset (AEI), yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai hartanah, pendapatan sewa dan prestasi keseluruhan portfolio. 

 

Dengan menaik taraf dan memperbaharui semula aset, KIP REIT mahu memastikan hartanahnya kekal kompetitif, menarik penyewa yang lebih berkualiti, serta meningkatkan pengalaman pelanggan, seterusnya meningkatkan pulangan kewangan yang lebih kukuh untuk pemegang unitnya.

 

AEON Mall Kinta City, yang merupakan AEON Mall pertama di Perak, memulakan operasinya pada tahun 1997. 

 

Ia akan menjalani pengubahsuaian besar, termasuk pengenalan lot runcit baharu, penambahbaikan kawasan umum dan peningkatan kemudahan. 

 

Projek tersebut dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pemeteraian perjanjian.

 

aeon

 

Selain itu, AEON juga menandatangani satu lagi terma pembaharuan untuk bangunan sedia ada dan akan menyewa ruang baharu berkenaan.

 

Sebagai sebahagian daripada MoU tersebut, tempoh sewaan AEON akan lebih panjang, menekankan komitmennya terhadap lokasi dan perkongsian yang kukuh dengan KIP REIT.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, pengembangan AEON Mall Kinta City menegaskan komitmen kumpulan terhadap pertumbuhan mampan melalui AEI. 

 

"Dengan meningkatkan nilai hartanah dan menarik penyewa berkualiti, kami sedang meletakkan portfolio kami untuk kejayaan jangka panjang.

 

"Kami berbesar hati dapat menyokong visi AEON dalam mewujudkan destinasi runcit yang lebih baik di Perak. Tempoh sewa yang dilanjutkan ini mencerminkan kekuatan perkongsian kami dan memperkukuhkan komitmen kami untuk membawa nilai jangka panjang kepada pemegang unit," katanya dalam satu kenyataan.

 

MoU itu ditandatangani oleh Pengarah Pacific Trustees Berhad, Edward Cheah dan Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada.


 
Majlis yang berlangsung di AEON Mall Taman Maluri tersebut, disaksikan oleh Ketua Pegawai Hartanah AEON, Lee Beng Beng dan Ong.

 

Okada dalam pada itu berkata, pengubahsuaian berkenaan adalah langkah strategik dalam perjalanan pertumbuhan AEON. 

 

"Kami komited untuk menyediakan destinasi membeli-belah yang lebih baik yang memenuhi keperluan pengguna moden sambil mengukuhkan AEON Mall Kinta City sebagai destinasi membeli-belah pilihan, terutamanya di Perak. 

 

"Kami bersyukur atas peluang untuk bekerjasama dengan KIP REIT dan Pacific Trustees, yang sokongannya sangat penting dalam merealisasikan pengembangan ini," jelasnya.

 

Kerjasama tersebut menekankan fokus strategik KIP REIT terhadap AEI sebagai pemacu utama pertumbuhan, meningkatkan ketahanan aset dan memastikan portfolio yang mampan serta menjana pendapatan. - DagangNews.com