KUALA LUMPUR 18 Mei - AEON Co. (M) Bhd mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM83.7 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, meningkat 22.9% berbanding RM68.1 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, prestasi lebih baik itu didorong oleh campuran produk yang lebih menguntungkan selain peningkatan pendapatan berubah daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah susulan aktiviti membeli-belah musim perayaan yang lebih rancak.
Tambahnya, pengurusan kos yang lebih cekap dan disiplin operasi yang dipertingkat turut menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan kumpulan.
Segmen peruncitan mencatatkan hasil sebanyak RM1.03 bilion, susut kecil 1.0% tahun ke tahun akibat corak perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati dan penyederhanaan pembelian barangan bukan keperluan.
Bagaimanapun, permintaan terhadap barangan keperluan asas kekal stabil sepanjang tempoh tersebut.
Sementara itu, segmen perkhidmatan pengurusan hartanah mencatat hasil RM212.5 juta, meningkat 4.0%, dipacu pembaharuan sewaan yang berkesan dan kadar penghunian yang mampan.
AEON berkata, inisiatif pengoptimuman campuran penyewa turut membantu meningkatkan prestasi segmen berkenaan.
Pembukaan Cawangan Baharu
Dalam tempoh suku pertama, syarikat turut meneruskan agenda pengembangan dan peningkatan aset termasuk pembukaan cawangan pertama di Kuantan, Pahang pada Januari lalu bagi mengukuhkan kehadiran di Pantai Timur.
Pada Februari, AEON menandatangani perjanjian dengan Pacific Trustees Bhd, pemegang amanah KIP REIT, bagi peluasan AEON Mall Kinta City di Perak yang dijangka siap pada suku keempat 2027.
Selain itu, pembangunan pusat beli-belah baharu dua tingkat di AEON Mall Seremban 2 sedang dilaksanakan, manakala kerja pengubahsuaian turut dirancang bagi AEON Permas Jaya dan AEON Taman Universiti tahun ini.
AEON juga sedang mempersiapkan pembukaan AEON Mall KL Midtown di Jalan Dutamas menjelang akhir 2026.
Pusat beli-belah lapan tingkat itu bakal menjadi projek pembangunan bercampur pertama AEON yang menggabungkan elemen runcit, kediaman, hospitaliti dan pejabat dalam satu pembangunan bersepadu.
Dari sudut kelestarian, AEON memperkenalkan kiosk kitar semula pintar di beberapa pusat beli-belah terpilih bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan sisa secara mampan.
Pengarah Urusan AEON, Tsugutoshi Seko berkata, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan asas operasi serta pemacu pertumbuhan utama termasuk memperluaskan penawaran jenama sendiri dan meningkatkan penglibatan pelanggan melalui program kesetiaan.
“Walaupun ketidaktentuan global mungkin terus mempengaruhi sentimen pengguna, kami menjangkakan permintaan asas kekal berdaya tahan disokong perbelanjaan stabil bagi barangan keperluan serta langkah rangsangan kerajaan,” katanya. - DagangNews.com








