KUALA LUMPUR 17 Jun - Langkawi membuktikan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar apabila bakal menjadi lokasi bagi acara Anugerah Kecemerlangan Hijau dan Geopark 2025 (GAGA 2025).
Ia sebagai platform untuk mengiktiraf usaha-usaha luar biasa dalam pemeliharaan, pembangunan mampan dan promosi geotapak di seluruh negara.
GAGA 2025 memperkenalkan 19 anugerah kecemerlangan geotapak di Malaysia meliputi pelbagai kategori yang menekankan aspek konservasi, inovasi, pendidikan alam sekitar serta penglibatan komuniti.
Acara yang akan berlangsung pada 22 November nanti di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Langkawi ini dianjurkan oleh A PEN Media dan disokong Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Ketua penganjur GAGA 2025, K.Y Pung berkata, anugerah kecemerlangan itu merupakan platform terbaik untuk mengiktiraf amalan hijau terpuji dalam kalangan sektor awam dan swasta.
Menurut beliau,selain itu ia bertujuan membangunkan rangkaian kerjasama antara geopark, agensi kerajaan, akademik dan komuniti setempat.
“Pemilihan Langkawi sebagai lokasi penganjuran memandangkan statusnya sebagai UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara.
“Dengan latar semula jadi yang kaya, Langkawi menjadi simbol kejayaan dalam usaha pemuliharaan yang digerakkan secara mampan dan inklusif,” ujarnya kepada DagangNews.


Selain acara anugerah, LADA juga akan menganjurkan persidangan hijau yang mana peserta dari dalam rantau ASEAN termasuk kumpulan alam sekitar tempatan dan antarabangsa akan dijemput menghadirinya.
Jemputan terkenal ialah kumpulan Global Alliance for Incinerator Alternatives (GAIA) berpangkalan di Filipina yang akan berkongsi pengalaman mereka dalam membantu Pulau Siquijor yang terkenal dengan dasar sifar sisanya.
Melalui penganugerahan ini kata Pung, Malaysia berharap untuk terus menyerlah di pentas antarabangsa dalam bidang pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan geopark.
“Dengan inisiatif seperti ini, Langkawi sekali lagi membuktikan dirinya bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga ikon kelestarian yang menjadi contoh kepada kawasan lain di seluruh dunia,” ujarnya.

Geotapak adalah kawasan atau tapak yang mengandungi ‘fitur geologi penting’ mewakili sejarah atau evolusi geologi sesebuah wilayah.
Penamaan geotapak hanya boleh digunakan selepas kajian telah dibuat mengenai nilai saintifik dan usaha pemuliharaan telah dimulakan.
Malaysia sudah mempunyai 13 geopark kebangsaan selain di Langkawi iaitu Kinabalu, Jerai, Lembah Kinta, Delta Sarawak, Mersing, Labuan, Lenggong, Kenyir, Gombak-Hulu Langat, Stong, Lipis dan Perlis. - DagangNews.com








