Abrdn Malaysia kini pemegang saham besar Wasco dengan pegangan lebih 5% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Abrdn Malaysia kini pemegang saham besar Wasco dengan pegangan lebih 5%

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Jan – Abrdn Malaysia Sdn Bhd muncul sebagai pemegang saham besar Wasco Bhd selepas memperoleh 39.11 juta saham atau 5.051% kepentingan dalam syarikat pakar salutan paip minyak dan gas serta infrastruktur itu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, urus niaga blok saham berkenaan dilaksanakan pada 26 Jan, namun harga transaksi tidak didedahkan.

 

Berdasarkan harga penutupan saham Wasco pada 86.5 sen pada hari tersebut, nilai pegangan itu dianggarkan sekitar RM33.83 juta.

 

Dengan pembelian berkenaan, Abrdn Malaysia kini menjadi pemegang saham kelima terbesar dalam Wasco, yang sebelum ini dikenali sebagai Wah Seong Corp Bhd.

 

Dalam pemfailan berasingan, Abrdn Malaysia didapati terus menambah pegangan pada hari yang sama dengan memperoleh 166,000 saham tambahan, sekali gus meningkatkan kepentingannya kepada 5.072%.

 

Dari segi prestasi pasaran, saham Wasco telah susut 19% setakat tahun ini daripada paras tertinggi terbaharu yang dicapai pada Disember tahun lalu. 

 

Saham syarikat itu ditutup 2.5 sen atau 2.86% lebih rendah kepada 85 sen pada Rabu, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM659 juta.

 

Menurut data Bloomberg, Wasco kini mempunyai lima saranan “beli” dan satu “neutral”, dengan purata harga sasaran RM1.20. 

 

Ini membayangkan potensi pulangan sekitar 41% dalam tempoh 12 bulan daripada paras harga semasa.

 

Sementara itu, laporan tahunan Abrdn menunjukkan Tan Kim Yeow Sdn Bhd merupakan pemegang saham terbesar Abrdn Malaysia, dengan pegangan langsung sebanyak 8.63% dan pegangan tidak langsung 32.567%. 

 

Ia diikuti oleh Wah Seong (Malaya) Trading Co Sdn Bhd yang memegang kepentingan langsung 30.92% dan tidak langsung 1.6443%.

 

Dalam struktur pemilikan Wasco pula, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menguasai 7.153% pegangan, manakala Urusharta Jamaah Sdn Bhd memegang 5.621% kepentingan dalam syarikat tersebut. - DagangNews.com