KUALA LUMPUR 3 Julai – Aberdeen Group Plc muncul sebagai pemegang saham utama Bumi Armada Bhd selepas memperoleh pegangan sebanyak 5.02% dalam syarikat perkhidmatan medan minyak luar pesisir itu.
Aberdeen Group plc merupakan syarikat pelaburan global dari United Kingdom yang beribu pejabat di Edinburgh, Scotland.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Aberdeen memperoleh sebanyak 297.5 juta saham menerusi dua transaksi yang dilaksanakan pada 30 Jun 2026, melepasi ambang 5% yang melayakkannya diklasifikasikan sebagai pemegang saham utama.
Harga pembelian tidak didedahkan. Namun, berdasarkan harga penutupan saham Bumi Armada pada 30 Jun 2026 iaitu 34.5 sen sesaham, nilai keseluruhan pegangan tersebut dianggarkan sekitar RM102.64 juta.
Kemunculan Aberdeen sebagai pemegang saham utama berlaku ketika harga saham Bumi Armada berada dalam aliran menurun sejak awal 2025. Pada ketika itu, saham syarikat didagangkan dalam lingkungan 64 sen hingga 68.5 sen sebelum terus menyusut.
Sepanjang tempoh 12 bulan lalu, saham Bumi Armada merosot kira-kira 25% daripada 44.5 sen kepada 33.5 sen, mencerminkan sentimen pelabur yang berhati-hati susulan prestasi kewangan syarikat.
Berdasarkan rekod pegangan saham, Allahyarham Tan Sri T Ananda Krishnan kekal sebagai pemegang saham terbesar Bumi Armada menerusi Objektif Bersatu Sdn. Bhd. dengan pegangan sebanyak 34.55%, manakala AmanahRaya Trustees Bhd memiliki 8.47% kepentingan dalam syarikat itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Prestasi kewangan SKP Resources terus merosot: Aberdeen jual 11.45 juta unit, bukan lagi pemegang saham utama
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026), keuntungan bersih Bumi Armada menjunam 78% kepada RM40.1 juta berbanding RM182.77 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Kemerosotan keuntungan itu sebahagian besarnya berpunca daripada sumbangan yang lebih rendah daripada dua aset kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO).
Pada masa sama, hasil syarikat turut merosot kepada RM306.56 juta berbanding RM473.97 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Menariknya, perkembangan ini berlaku hanya selepas beberapa hari Aberdeen Group plc mengurangkan pegangan ekuitinya dalam SKP Resources Bhd.
Perubahan status itu berlaku susulan pelupusan sebanyak 11.45 juta saham dalam syarikat pengeluar perkhidmatan pembuatan elektronik itu yang dilakukan pada 29 Jun 2026.
Transaksi berkenaan menyaksikan pegangan Aberdeen berkurangan kira-kira 0.73% kepada 4.79% yang meletakkan kedudukan mereka di bawah ambang 5%. - DagangNews.com








