KUALA LUMPUR 21 Okt – Kerajaan mengumumkan pelantikan semula Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 20 Disember 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata, pelantikan semula itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap kepimpinan Abdul Rashid.
“Di bawah pentadbirannya institusi itu telah melaksanakan pelbagai pembaharuan strategik dan tadbir urus penting.
“Sejak menerajui TH pada 20 Disember 2023, Abdul Rashid memacu beberapa inisiatif utama termasuk memperkukuh kedudukan kewangan serta meningkatkan pulangan kepada pendeposit.
“Perkara ini dapat dilihat menerusi kejayaan TH mencatat keuntungan kukuh dan memastikan pengagihan dividen yang kompetitif serta mampan,” kata kenyataan itu.
Bagi tahun kewangan 2024, TH merekodkan keuntungan berjumlah RM2.92 bilion dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada kira-kira RM95.06 bilion.
Selain itu, TH turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Labaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sempena Musim Haji 1446H/2025M iaitu pengiktirafan tertinggi bagi agensi pengurusan haji.
Sementara itu, Abdul Rashid dalam kenyataan sama menzahirkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar atas kepercayaan yang diberikan untuk meneruskan usaha transformasi TH.
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati diberi peluang untuk terus berkhidmat bersama warga kerja TH yang komited dalam memperkukuh kedudukan kewangan institusi ini supaya lebih mampan dan berdaya tahan melalui penambahbaikan serta inovasi berterusan.
“Pada masa sama, kami akan terus berusaha mengembangkan dana pendeposit dan memudah cara urusan jemaah haji agar dapat menunaikan ibadah dengan lancar.
“Matlamat kami adalah untuk memperkukuh kedudukan TH sebagai institusi simpanan Islam yang disegani.
“Ini juga selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar TH terus mempertingkatkan tadbir urus serta pengurusannya demi manfaat pendeposit,” katanya.
Abdul Rashid dilantik sebagai Pengerusi TH pada 20 Disember 2023 bagi tempoh dua tahun dan pelantikan itu kini dilanjutkan untuk penggal baharu bermula 20 Disember 2025 hingga 19 Disember 2027. - BERNAMA








