KUALA LUMPUR 28 Nov – 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rangkaian pasar mini terbesar di Malaysia melalui pembukaan cawangannya yang ke-3,000 di Caledonia Avenue, Bestari Jaya, Selangor.
Pencapaian itu memperkukuhkan lagi peranan syarikat dalam menyokong pembangunan mampan serta ekonomi rakyat di seluruh negara.
Majlis perasmian pembukaan cawangan ke-3,000 itu disempurnakan oleh Pengerusi syarikat, Datuk Chua Tia Guan dan turut dihadiri Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lee Thiam Wah serta ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan 99 Speedmart yang lain.
Dalam satu kenyataan, 99 Speedmart berkata, pembukaan cawangan baharu itu adalah bukti komitmennya dalam menyediakan barangan runcit berkualiti pada harga mampu milik melalui lokasi lebih dekat dengan komuniti setempat, selaras dengan slogan syarikat ‘Dekat Lagi Murah’.
“Langkah ini juga bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, sekali gus menyokong ekonomi rakyat.
“Selain memperluas rangkaian perniagaan, 99 Speedmart juga mengutamakan pengambilan 100% tenaga kerja tempatan di setiap cawangan serta pembangunan modal insan melalui program latihan dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan itu.

99 Speedmart telah menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Akademi Dalam Industri di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia untuk memperkasakan pekerja serta membuka peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Dalam usaha mencapai kelestarian, 99 Speedmart turut memfokuskan kepada agenda Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) melalui pemasangan tenaga solar di pusat pengedaran, penggunaan peralatan jimat tenaga, program kitar semula, dan langkah penjimatan air.
Syarikat itu berkata, ia juga memberi perhatian kepada tanggungjawab sosial dengan menyokong komuniti setempat melalui kebajikan berterusan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.
“Selain itu, 99 Speedmart juga menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela untuk melatih pekerja dalam asas kebombaan dan penyelamatan.
“Pasukan ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan warga kerja tetapi juga bersedia memberikan bantuan kecemasan apabila diperlukan, sekali gus menunjukkan komitmen syarikat terhadap keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya. - DagangNews.com








