KUALA LUMPUR 18 Nov – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatat lonjakan jualan apabila sebanyak 82,896 tiket bagi tempoh perjalanan 1 Januari hingga 30 April 2026 habis terjual selepas jualan dibuka semalam, sekali gus memperlihatkan permintaan luar biasa terhadap perkhidmatan rel negara.
Menurut KTMB, hanya 79 transaksi atau 0.09% dilaporkan tidak berjaya, namun semua transaksi itu sedang diproses untuk pemulangan wang yang dijangka selesai dalam tempoh sehingga 14 hari mengikut prosedur bank masing-masing.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif), Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, jumlah jualan tiket yang tinggi dalam tempoh singkat mencerminkan keyakinan pengguna terhadap tren sebagai mod perjalanan utama.
“Sambutan luar biasa dalam tempoh 24 jam ini membuktikan tren kekal menjadi pilihan rakyat. Walaupun jumlah transaksi tidak berjaya sangat kecil, KTMB komited menambah baik sistem bagi memastikan pengalaman pembelian tiket lebih lancar dan boleh dipercayai,” katanya.
Mengulas mengenai trafik tinggi pada platform tempahan KITS, beliau berkata, keadaan itu dijangka memuncak susulan pembelian tiket yang merangkumi beberapa musim perjalanan penting seperti Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan cuti sekolah, selain penyusunan semula jadual operasi tren yang lebih kompleks bagi memenuhi permintaan penumpang.
“Pembukaan jualan tiket 2026 memerlukan penyelarasan jadual tren yang teliti, mengambil kira peluasan perkhidmatan ETS ke Johor Bahru yang kelak berkongsi landasan dengan perkhidmatan Intercity, Komuter dan tren kargo. Ia penting untuk mengekalkan operasi yang stabil, selamat dan teratur,” jelasnya.
Dalam masa sama, KTMB merakamkan penghargaan kepada Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan atas komitmen menambah set tren baharu secara berfasa, yang akan meningkatkan kapasiti perjalanan, memperbanyak kekerapan, serta menawarkan pengalaman perjalanan lebih selesa kepada penumpang.
KTMB turut memberi jaminan semua pelanggan terlibat dalam transaksi tidak berjaya akan menerima pemulangan wang sepenuhnya, manakala orang ramai digalakkan merancang perjalanan lebih awal bagi musim puncak serta menyemak jadual terkini melalui aplikasi KTMB Mobile. - DagangNews.com








