KUALA LUMPUR 22 Mei - 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM4.72 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM10.63 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, kumpulan pengendali rangkaian kedai serbaneka itu mencatat pertumbuhan hasil kepada RM837.58 juta daripada RM755.28 juta sebelumnya, didorong pembukaan lebih banyak cawangan baharu serta peningkatan perbelanjaan pengguna sepanjang tempoh cuti umum dalam suku semasa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata peningkatan hasil itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh penambahan bersih 106 kedai baharu berbanding suku sama tahun lalu.
Menurutnya, faktor cuti umum yang lebih banyak pada suku semasa turut membantu meningkatkan purata jualan harian bagi setiap kedai.
“Sehubungan itu, hasil bagi segmen kedai serbaneka meningkat sebanyak RM80 juta atau 10.6% berbanding suku sama tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, segmen kedai serbaneka merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM6 juta, susut RM4.1 juta berbanding tempoh sama tahun sebelumnya berikutan peningkatan kos operasi dan perbelanjaan berkaitan pengembangan rangkaian kedai.
Prestasi hasil yang lebih kukuh mencerminkan strategi pengembangan agresif kumpulan dalam memperluaskan kehadiran pasarannya di seluruh negara, selari dengan permintaan berterusan terhadap format peruncitan berasaskan kemudahan dan pembelian segera.
7-Eleven Malaysia sebelum ini terus memberi tumpuan kepada pembukaan cawangan baharu dan penambahbaikan penawaran produk bagi mengukuhkan daya saing dalam segmen peruncitan serbaneka yang semakin kompetitif. - DagangNews.com








