7-Eleven dijangka catat keuntungan kukuh 4Q dipacu musim perayaan, pengembangan operasi kafe - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

7-Eleven dijangka catat keuntungan kukuh 4Q dipacu musim perayaan, pengembangan operasi kafe - CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Nov – CIMB Securities menjangkakan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (SEM) akan mencatat keuntungan bersih teras (CNP) lebih kukuh sebanyak RM18 juta pada suku keempat, disokong perbelanjaan perayaan dan pengembangan berterusan format CAFé by 7-Eleven.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pengembangan rangkaian kedai baharu dijangka membawa sedikit tekanan kos, namun ia akan disederhanakan oleh peningkatan kecekapan operasi.

 

“SEM terus memperluas rangkaian CAFé by 7-Eleven melalui kerja-kerja pengubahsuaian dan pembukaan cawangan baharu,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2025, CNP SEM susut 18% tahun ke tahun, susulan kenaikan kos buruh dan utiliti yang menekan margin Ebitda sebanyak satu mata peratusan kepada 10.8%.

 

Namun, hasil meningkat 8.1% yoy, disokong tambahan bersih 67 kedai baharu (+2.6% yoy) dan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) sebanyak 4.7%.

 

CIMB turut menyatakan trafik pelanggan pada suku ketiga sedikit lembap kerana pengguna mengalihkan perbelanjaan ke kedai penyertaan program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) selepas pengagihan bantuan tunai RM100 pada hujung Ogos.

 

SEM kini sedang memohon untuk menyertai program tersebut bagi menangkap perbelanjaan masa hadapan yang dipacu bantuan kerajaan.

 

Tekanan Kos Seret Keuntungan Suku Ketiga

Pada asas suku ke suku (qoq), hasil SEM susut 1.2%, manakala perbelanjaan operasi meningkat 1.4% dan susut nilai daripada kedai baharu melonjak 4.1%. Keadaan ini menyebabkan CNP merosot ketara 80.3% qoq.

 

Dalam suku sama, SEM menambah 93 kedai CAFé by 7-Eleven, menjadikan jumlahnya 748 outlet, atau 27.9% daripada keseluruhan rangkaian kedai syarikat itu.

 

CIMB mengekalkan unjuran pendapatannya, namun memberi amaran bahawa penilaian SEM kekal tinggi pada 36.1 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2026, iaitu sekitar 0.75 sisihan piawai di atas purata 10 tahun.

 

Walaupun pemulihan dijangka berterusan, firma penyelidikan itu kekal dengan saranan ‘reduce’ dan harga sasaran RM1.58, dengan mengambil kira penilaian yang mahal serta tekanan kos operasi yang meningkat.

 

Menurut data Bloomberg, terdapat dua cadangan ‘hold’ dan dua cadangan ‘sell’ ke atas saham SEM, dengan purata harga sasaran 12 bulan pada RM1.61 sesaham- DagangNews.com