KUALA LUMPUR 20 Nov – 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) mencatat keputusan suku ketiga tahun kewangan 2025 (3Q25) yang berada di bawah jangkaan, berikutan perbelanjaan jualan dan pengedaran yang lebih tinggi, sekali gus menekan keuntungan bersih, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB)
Keuntungan bersih 3Q25 hanya RM2 juta (-81% YoY, -89% QoQ), menjadikan keuntungan 9 bulan pertama FY25 berjumlah RM33 juta, atau hanya 57% daripada anggaran tahunan.
"Hasil 9M25 pula RM2.4 bilion, selaras dengan jangkaan, namun tekanan kos terus mengekang margin, kata Maybank IB dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu lagi, cabaran operasi &-Eleven wujud kerana kenaikan kos gaji dan utiliti, yang menjejaskan usaha syarikat untuk mempelbagaikan sumber hasil ke kategori makanan segar yang mempunyai margin lebih tinggi.
Usaha memacu jualan makanan segar yang berpotensi meningkatkan keuntungan kumpulan dilihat perlahan, meskipun kedai baharu terus dibuka.
Bagi 3Q25, hasil kumpulan meningkat 7% YoY, dipacu oleh sumbangan daripada 67 kedai baharu dan peningkatan purata jualan per kedai.
Namun, margin kasar merosot 1 mata peratus YoY susulan prestasi jualan makanan segar yang lebih lemah.
EBIT pula menurun 37% YoY, dipengaruhi oleh perbelanjaan jualan dan pengedaran yang meningkat serta pengembangan tenaga kerja.
Setakat akhir 3Q25, 7-Eleven mempunyai 2,678 kedai, termasuk 748 kedai 7-Café (+277 YoY).
Menyedari prestasi lemah ini, Maybank IB menurunkan anggaran keuntungan FY25E–FY27E sebanyak 16% hingga 27%, dengan harga sasaran dikurangkan daripada RM1.60 kepada RM1.40, sambil mengekalkan saranan JUAL.
Walaupun momentum jualan 4Q25 dijangka meningkat susulan musim perayaan hujung tahun, firma itu menekankan bahawa peningkatan sumbangan makanan segar perlu dipercepat untuk memastikan pertumbuhan keuntungan yang lebih ketara pada masa hadapan. - DagangNews.com








